Kerajaan perlu tegas, utamakan aspek perpaduan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PERASAAN prasangka dan ketidakpuasan hati di antara pelbagai etnik dalam sesebuah negara bukanlah suatu perkara asing.

Terdapat negara yang berdepan dengan masalah persengketaan kaum lebih-lebih lagi berkenaan isu agama yang menyebabkan peperangan berlarutan sekaligus memberi kesan kepada pembangunan ekonomi, sosial dan juga politik negara berkenaan.

Persoalannya, bagaimana kita menangani isu ini secara serius tanpa menjejaskan keamanan dan keharmonian negara.

Untuk mengupas lebih lanjut isu ini Tokoh Akademik dan Kebudayaan Melayu, Profesor Tan Sri Dr Abdul Latiff Abu Bakar berkongsi pandangannya kepada Sinar Harian.

SINAR HARIAN: Apa pandangan Tan Sri untuk melihat negara Malaysia mengekalkan perpaduan berikutan pelbagai isu kini berlaku melibatkan kaum.

ABDUL LATIFF: Dalam mewujudkan kestabilan negara, kita perlu mengikut perlembagaan, memahami sejarah tanah air dan rukun negara.

Untuk menjadi rakyat Malaysia, seseorang itu perlu mempunyai kekuatan diri berdasarkan kesetiaan kepada negara dan setia kepada Raja Melayu.

Jika kita memikirkan ini sebagai keutamaan, negara berada dalam satu zon selamat dan perpaduan akan berkekalan.

Artikel Berkaitan:

Apakah peranan ahli politik yang boleh diketengahkan untuk mengekalkan perpaduan negara?

ABDUL LATIFF: Bagi saya, ahli politik apabila bercakap hanya mementingkan politik semata-mata. Ahli politik sebaiknya perlu berpandu arah dengan sejarah, perlembagaan, rukun negara dan gagasan jati diri Malaysia sebagai panduan. Apabila mereka sudah faham, mereka boleh lihat apa yang berlaku di hadapan mereka. Sebagai contoh terdapat pihak yang mencabar hal-hal berkaitan agama dan kebangsaan.

Apa pandangan Prof mengenai punca perpaduan semakin parah, adakah disebabkan membiarkan setiap kaum bergerak dengan cara masing-masing?

ABDUL LATIFF: Sebenarnya perkara ini tidak boleh terjadi, ia perlu dihapuskan.

Kerajaan perlu tegas terutama dalam media baharu dengan menjelaskan perkara itu. Kerajaan pula boleh bertindak sekiranya mempunyai informasi yang boleh menggugat perpaduan rakyat. Kita tidak mahu kerajaan yang ‘lembik’ tetapi mahukan kerajaan yang bersih, cekap dan amanah.

Apakah harapan Tan Sri kepada negara?

ABDUL LATIFF: Harapan saya, perpaduan perlu dikekalkan kerana ia dilabel sebagai harta kekayaan yang sangat asas dan penting.

Hormat kepada pelbagai perkara termasuk dasar-dasar negara, bahasa Melayu, kebebasan agama dan Raja-Raja Melayu. Raja-Raja Melayu pula jangan lupa menjaga keistimewaan orang Melayu dan menjaga semua kepentingan rakyat.

Kerajaan perlu tegas dan saya menyokong usaha Majlis Profesor Negara mengadakan kongres jati diri sebagai usaha mewujudkan pandu arah untuk kerajaan ‘memandu’ kerana ia melibatkan semua pemikir-pemikir demi negara tercinta.