Kerjasama penjawat awam, kepimpinan politik penting untuk kemakmuran

Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyampaikan titah ucapan ketika berangkat ke Majlis Santapan Malam anjuran Kerajaan Negeri Pulau Pinang di sebuah hotel hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyampaikan titah ucapan ketika berangkat ke Majlis Santapan Malam anjuran Kerajaan Negeri Pulau Pinang di sebuah hotel hari ini. - Foto Bernama
A
A
A
GEORGETOWN - Jalinan kerjasama dan persefahaman saling diperlukan antara penjawat awam dan pimpinan politik dalam memastikan kesejahteraan dan kemakmuran serta kejayaan sesebuah negara, titah Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Baginda bertitah pimpinan politik dan penjawat awam merupakan dua sayap penting dalam pentadbiran kerajaan. Justeru titah baginda, jalinan kerjasama dan persefahaman dalam semangat saling menghormati – saling menasihati – saling mempercayai, hendaklah dijadikan budaya kerja antara pimpinan politik dengan penjawat awam.

"Para penjawat awam ada tanggungjawab kenegaraan yang wajib dipenuhi. Penjawat awam turut bertanggungjawab melindungi kepentingan negara dan kepentingan rakyat. Penjawat awam wajib menyuarakan sebaik-baik nasihat, dan memberikan sebaik-baik ulasan kepada pimpinan politik, akan peraturan dan pelbagai instrumen kawalan yang perlu dihormati.

Penjawat awam hendaklah berperanan sebagai penstabil yang profesional lagi neutral, ketika menghadapi tafsiran politik yang berbeza, supaya nasihat dan ulasan yang disuarakan, bersifat rasional lagi objektif, demi melindungi kepentingan jangka panjang negara dan rakyat," titah baginda pada Majlis Santapan Malam anjuran Kerajaan Negeri Pulau Pinang di sini malam ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Turut hadir pada majlis itu Yang di-Pertuan Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff serta Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Dalam titah baginda, Sultan Nazrin turut mengingatkan tanggungjawab utama sesebuah kerajaan adalah untuk memakmurkan negara dan menyejahterakan hidup rakyat.

"Kejayaan sesebuah kerajaan, bergantung pada sikap dan budaya kerja para anggota dan pegawai yang diamanahkan mengurus tadbir sesebuah kerajaan. Rekod kejayaan pencapaian kerajaan di negara ini, dihasilkan melalui komitmen, kesungguhan dan keikhlasan anggota pentadbiran dan para pegawai awam, menyempurnakan amanah yang dipertanggungjawabkan.

"Dengan itu, pembangunan dapat berlaku secara pesat, kemiskinan berjaya ditangani secara berkesan, kemakmuran negara berupaya diagihkan secara saksama untuk dinikmati oleh majoriti rakyat jelata," titah baginda.
Artikel Berkaitan:


Baginda bertitah para penjawat awam juga hendaklah mengambil iktibar dan menghayati peringatan yang pernah ditegaskan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak , Perdana Menteri Malaysia kedua, agar barisan pentadbir dan teknokrat, berpegang kepada prinsip kejujuran, tegas lagi berani menyuarakan yang hak, selaras dengan nasihat yang terkandung dalam ucapan yang bertemakan “Road to Nationhood”

"Sebagai penjawat awam, saya berharap anda akan berpendirian teguh terhadap kami ahli politik, dan tidak membenarkan diri dikuasai oleh kami. Sebab dalam demokrasi sebenar, penjawat awam mempunyai tanggungjawab untuk dilaksanakan. Masa depan cara hidup demokrasi negara kita bergantung kepada anda," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah bahawa penjawat awam juga berpeluang untuk menjadi sebahagian daripada sejarah dengan meletakkan Malaysia sebagai negara yang gemilang dan dihormati, dengan berperanan secara efektif mengharumkan nama negara, menjadikan diri, sebahagian daripada pentadbir dan teknokrat yang jujur.

"Semoga saudara saudari akan dilimpahkan oleh Ilahi kekuatan untuk menjadi para pentadbir yang jujur, tegas menegakkan kebenaran dan menghindarkan diri daripada terjebak dengan sebarang kemungkaran. Semoga saudara saudari akan berdiri sebagai pohon yang kukuh tidak bergoyang, ketika menghadapi pelbagai ujian, baik dalam bentuk tekanan, begitu juga dalam bentuk sogokan.

Semoga urusan negara diamanahkan kepada orang-orang yang beriman dan berprinsip, memiliki semangat jitu tidak akan menyalahgunakan jawatan dan kuasa. Semoga rakyat hidup bersatu dan maju; semoga rahmat bahagia, Tuhan kurniakan," titah baginda.

Pada majlis itu baginda turut menitipkan nostalgia tatkala menghadiri majlis yang cukup meriah itu dengan menyifatkan Pulau Pinang bukanlah tempat asing bagi baginda.

"Pulau Pinang bukanlah tempat asing dalam hidup beta. Paduka bonda beta, berasal dari Pulau Pinang, beta pula diputerakan di Pulau Pinang dan melalui kehidupan awal di pulau ini. Majlis makan malam yang dianjurkan oleh kerajaan negeri ini, memberikan ruang kepada beta berdua, dapat bertemu dengan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat dan pegawai-pegawai kanan Kerajaan Pulau Pinang.

"Beta dan Raja Permaisuri, menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff , kerajaan negeri, serta rakyat Pulau Pinang, atas sambutan meriah lagi mesra, yang diberikan kepada beta berdua,"titah baginda.

Baginda berdua yang dalam lawatan rasmi dua hari ke negeri ini. Sultan Nazrin dijadual berkenan untuk mengurniakan watikah kepada 10 anggota Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang serta 24 hakim dan pendaftar Mahkamah Syariah Pulau Pinang, esok. - Bernama