Lesen Lynas diperbaharui dengan syarat

A
A
A

PUTRAJAYA - Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) telah memperbaharui lesen operasi syarikat memproses bahan nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) untuk tempoh enam bulan lagi beserta dengan beberapa syarat penting.

LPTA dalam satu kenyataan berkata, antara syarat utama adalah syarikat itu perlu mengemukakan perancangan bagi pembinaan kemudahan 'Cracking and Leaching' dan Kemudahan Pelupusan Kekal (PDF).

Menurut kenyataan itu, dua perkara penting itu merupakan sebahagian syarat yang diputuskan setelah Kerajaan Persekutuan Australia dan Kerajaan Negeri Western Australia memaklumkan kepada Malaysia bahawa pihaknya tidak akan menerima penghantaran balik residu radioaktif WLP Lynas.

“Antara syarat-syarat yang ditetapkan Lynas hendaklah mengemukakan perancangan bagi pembinaan kemudahan 'Cracking and Leaching' di luar negara bagi tujuan memindahkan proses tersebut yang kini dijalankan di lojinya di Gebeng, Kuantan keluar dari Malaysia.

“Kemudahan 'Cracking and Leaching' di luar negara hendaklah dibina dan mula beroperasi dalam tempoh empat tahun dari tarikh sah lesen. Selepas kemudahan 'Cracking and Leaching' mula beroperasi di luar negara,” katanya menerusi satu kenyataan media semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Tidak boleh halau Lynas, pelabur asing perhati: Dr Mahathir

Selain itu, kenyataan turut menyebut, Lynas perlu mengenalpasti tapak spesifik untuk pembinaan PDF dan mengemukakan kebenaran secara bertulis daripada kerajaan negeri bagi penggunaan tapak tersebut.

“Pembinaan PDF perlu disegerakan untuk meminimakan risiko timbunan residu radioaktif WLP yang kini terkumpul melebihi 580,000 tan di kemudahan penstoran sementara (RSF) yang terdedah kepada ancaman bencana alam seperti banjir besar.

Artikel Berkaitan:

“Pemegang lesen juga hendaklah mengemukakan pelan perancangan pembinaan PDF yang lengkap serta pelan pembiayaan yang mencukupi bagi menampung keseluruhan pembinaan dan operasinya atau mengemukakan kebenaran rasmi secara bertulis daripada pihak berkuasa mana-mana negara untuk membawa keluar residu Water Leach Purification (WLP) ke negara terlibat.

Menurutnya, esemua syarat yang diputuskan itu berdasarkan syor yang dibuat Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi Lynas Advanced Materials Plant dalam laporannya pada November 2018.

“LPTA juga akan memantau rapi serta memastikan pembinaan dan pengendalian PDF mengikut piawaian antarabangsa,” katanya.