Lima pemotong rumput maut dirempuh

No Image Caption
A
A
A

SONGKHLA - Lima pemotong rumput maut dan seorang lagi cedera parah apabila dirempuh sebuah kenderaan yang dipandu seorang rakyat Malaysia di daerah Rattaphum, Songkhla semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang (waktu tempatan), enam pemotong rumput berusia antara 34 hingga 56 tahun itu yang sedang berehat di tepi Jalan Hatyai-Satun, dilanggar sebuah kereta jenis Perodua Myvi dipandu wanita berusia 30 tahun.

Pemandu wanita dan dua rakannya yang dalam perjalanan dari Krabi menuju ke Hatyai, Songkhla, cedera ringan. Pemandu wanita itu turut disoal siasat polis.

Ketua Polis Siasatan Jenayah Rattaphum Kol.Pol. Theva Daoruang berkata, empat mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia di Hospital Rattaphum.

Beliau berkata, mangsa yang cedera parah kini menerima rawatan di hospital.

"Siasatan awal polis mendapati pemandu yang dalam perjalanan menuju ke Hatyai dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh mangsa yang duduk di tepi jalan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: