Nora Anne teruja lihat air terjun, dedah sukarelawan

Nora Anne
A
A

SEREMBAN - Kehilangan remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, 15 sejak 4 Ogos lalu terjawab selepas penemuan mayatnya petang semalam yang disahkan oleh keluarganya di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, malam tadi.

Sebelum itu, Nora Anne pernah menyatakan keterujaannya sebaik tiba di resort The Dusun Hill iaitu lokasi penginapan mereka sekeluarga bercuti.

Berdasarkan laporan yang dipetik dari Daily Mail, keterujaan Nora Anne itu didedahkan oleh seorang sukarelawan yang terlibat dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) itu.

Dalam laporan itu juga, remaja itu meluahkan rasa keterujaannya mengenai air terjun kepada ibunya, Maebh Jaseprin Quoirin ketika tiba di resort berkenaan untuk percutian selama dua minggu di situ.

Menurut sukarelawan Shirley Yap kepada Daily Mail, dia dimaklumkan melakukan pencarian di kawasan air terjun iaitu satu jam sebelum mayat Nora Anne ditemui.

“Kami diberitahu yang Nora sangat teruja melihat air terjun itu setibanya di resort.

“Kami melakukan pencarian di kawasan air terjun dengan mengikut aliran air ke bawah gunung,” katanya.

Semalam, seramai 22 sukarelawan daripada Seremban Hiking Club, menemukan mayat Nora Anne di lokasi terbabit.

Mayat gadis malang itu ditemui oleh sekumpulan pendaki Seremban Hiking Club yang turut menyertai operasi SAR berkenaan berhampiran lokasi yang di inap keluarganya jam lebih kurang 1.57 pagi.

Jarak penemuan mayat itu kira-kira 2.5 kilometer dari resort penginapan berkenaan dan mayat mangsa dilaporkan dalam keadaan tidak berpakaian.

Semalam, polis turut menegaskan lokasi penemuan mayat Nora Anne adalah dalam liputan kawasan pencarian pasukan SAR sebelum ini.

Terdahulu, Nora Anne disedari hilang dari bilik penginapannya di sebuah resort di Pantai, Seremban oleh keluarganya pada 8 pagi, 4 Ogos lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: 10 hari kehilangan Nora Anne akhirnya terungkai

Perkembangan kes Nora Anne Quoirin, 15, di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban.

Posted by Sinar Harian Edisi Melaka & Negeri Sembilan on Tuesday, August 13, 2019

Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia