Galak pemain industri sedia pakej pelancongan menarik

Cai Tung (dua dari kanan) dan Pengarah Tourism Johor, Zihan Ismail (dua dari kiri) bersama maskot Angry Bird pada majlis sidang media di sini semalam.
Cai Tung (dua dari kanan) dan Pengarah Tourism Johor, Zihan Ismail (dua dari kiri) bersama maskot Angry Bird pada majlis sidang media di sini semalam.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kesemua pemain industri pelancongan di negeri ini digalakkan untuk menyediakan pelbagai pakej lebih menarik sempena Tahun Melawat Johor, tahun depan.

Exco Pelancongan, Liow Cai Tung berkata, pihaknya bukan sekadar menumpukan pada produk pelancongan di Johor Bahru sahaja, sebaliknya turut menonjolkan sembilan daerah yang lain.

"Saya galak semua pemain industri untuk mewujudkan pakej-pakej lebih menarik demi kebaikan produk, persatuan dan pemain industri sebab akhirnya pakej tersebut perlukan pemain industri untuk dijayakan.

"Cuma hasrat kami agar tidak tertumpu pada kawasan Johor Bahru sahaja, tapi juga sembilan daerah lain di Johor," katanya pada sidang media pengumuman Majlis Pelancaran Logo dan Maskot Tahun Melawat Johor 2020 di KOMTAR, JBCC di sini semalam.

Cai Tung berkata, kerajaan negeri menyasarkan seramai 18 juta pelancong domestik dan antarabangsa ke negeri ini yang mempunyai 14 pintu masuk.

Menurut beliau, pihaknya juga menjalankan promosi ke negara-negara yang mempunyai penerbangan langsung ke Senai, Johor.

"Promosi domestik dilakukan menerusi 'roadshow' di negeri-negeri yang kita mahu fokuskan, manakala negara luar dengan menyertai 'travel fair' untuk promosikan produk kita.

"Terutama di negara-negara yang mempunyai penerbangan langsung ke Johor seperti Thailand, Korea, China dan Indonesia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, sebanyak 20 destinasi percutian termasuk lokasi baharu akan diumumkan pada Majlis Pra Pelancaran Tahun Melawat Johor 2020 yang akan berlangsung Jumaat hingga Ahad ini di Paradigm Mall, Johor Bahru.

Pemenang mencipta logo dan maskot Tahun Melawat Johor 2020 pula diumumkan pada 17 Ogos ini di lokasi sama yang akan dihadiri oleh Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Pelbagai aktiviti menarik akan dilaksanakan sepanjang tiga hari majlis berlangsung termasuk pameran taman tema dengan tawaran pakej-pakej menarik (Legoland, Sanrio Hello Kitty Town, MCM Studio, Austin Height Adventure Park, Desaru Coast Adventure Waterpark, Angry Bird Park, Persatuan Homestay Johor dan Kejora), Meet & Greet bersama maskot-maskot (Legoland Malaysia, Angry Bird, MCM Studio dan Tahun Melawat Johor 2020), kuiz pelancongan, permainan konsol PS4 remaja dan banyak lagi.