Penduduk sedih penemuan mayat Nora Anne

No Image Caption
A
A
A
NILAI - Penduduk di sekitar kawasan resort di Pantai, Seremban di sini menzahirkan rasa simpati, hiba dan terkejut susulan penemuan mayat remaja warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, pada hari ke-10 kehilangannya dari sebuah resort di sini.

Rata-rata penduduk di sini, seakan tidak percaya kehilangan remaja malang itu berakhir sebegitu selain menyifatkan ia sebagai peristiwa 'hitam' buat kampung berkenaan.

Mohamad Afendi Azhar, 26, berkata kejadian itu adalah peristiwa pertama di kawasan itu membabitkan kes kehilangan individu yang berakhir dengan kematian.

Katanya, dia bersama penduduk kampung pernah berusaha mencari remaja itu pada hari kedua selepas dilaporkan hilang pada 4 Ogos, namun gagal.

"Secara peribadi saya amat simpati dengan keluarganya," katanya.

Seorang lagi penduduk yang ingin dikenali sebagai Malik, 28, mengakui terkejut apabila mendapat berita penemuan mayat itu yang berada kira-kira 2.5 kilometer dari resort Nora Anne dilapor hilang.

ARTIKEL BERKAITAN:

Polis sahkan mayat ditemukan Nora Anne

Polis yakin mayat dijumpai ialah Nora Anne
Artikel Berkaitan:


Mayat ditemui ketika misi mencari Nora Anne


"Tak sangka akan jumpa dalam keadaan macam ni (tidak bernyawa). Memang simpati dengan keluarga mangsa. Walaupun jumpa dalam keadaan sudah tidak bernyawa tetapi sekurang-kurangnya tanda tanya selama ini kehilangan Nora Anne terungkai," katanya.

Beliau berkata kebanyakan kes yang berlaku di situ hanya melibatkan kejadian orang sesat dan kebiasaannya akan dijumpai selamat dalam masa singkat.

Mohd Raffiq Ismail, 31, yang pernah mengikuti operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi penemuan mayat itu pula mengakui terkilan kerana gagal menemui remaja itu walaupun pernah mencarinya di kawasan sama.

"Masa saya ikut operasi itu, kami ada lalu kawasan tu (lokasi penemuan mayat) tapi kami tak temui apa-apa, tiga hari ikut operasi," katanya.

Nora Anne bersama keluarganya tiba di Malaysia pada 3 Ogos bagi percutian selama dua minggu di sini dan remaja itu disedari hilang oleh keluarganya dari bilik penginapan mereka pada 8 pagi hari berikutnya. Mayatnya ditemui pukul 1.57 tengah hari Selasa. - Bernama