Dong Zong tolak label rasis

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zong) menolak label rasis yang dilemparkan Perdana Menteri terhadap mereka.

Dong Zong dan Jiao Zong dalam satu kenyataan berkata, pihaknya berasa amat kesal dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam.

Mereka juga menafikan dengan tegas kononnya badan yang menolak pengajaran seni khat itu adalah badan rasis yang menolak segala usaha kerajaan dalam pendidikan.

"Dong Jiao Zong menegaskan bahawa pendirian kami selama ini adalah untuk membangunkan pendidikan bahasa ibunda dan menggalakkan kepelbagaian budaya antara kaum di negara kita.

"Dong Jiao Zong bukan satu-satunya badan yang menolak pengajaran seni khat di sekolah jenis kebangsaan, tetapi pandangan ini mewakili suara arus perdana dalam komuniti non-Muslim di Semenanjung, Sabah dan Sarawak," katanya.

Semalam, Perdana Menteri melabel Dong Zong sebagai rasis kerana mendakwa langkah kerajaan memperkenalkan tulisan jawi di sekolah sebagai satu bentuk Islamisasi.

Dr Mahathir hari ini sekali lagi mempertahankan kenyataannya itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Dong Zong memang rasis, hanya cakap soal orang Cina: PM

Artikel Berkaitan:

Dalam kenyataan hari ini yang dilaporkan kira-kira 24 jam selepas kecaman Dr Mahathir, Dong Jiao Zong berkata, dakwaan terdapat usaha Islamisasi adalah berasas.

Kenyataan itu turut memetik Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nik Omar Nik Abdul Aziz yang menyokong keputusan kerajaan demi “meningkatkan kefahaman generasi muda terhadap tulisan jawi dan Bahasa Arab, serta memudahkan mereka untuk mempelajari al-Quran serta memahaminya seterusnya beramal dengannya”.