Temuduga kerja unik, tampilkan tema era Barat klasik

Calon temuduga turut sama mengikut tema ditetapkan penemuduga.
Calon temuduga turut sama mengikut tema ditetapkan penemuduga.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ramai rakyat Malaysia sudah biasa bahkan ada yang selalu menghadiri temuduga kerja. Kebiasaannya, etika pakaiannya sama.

Untuk lelaki, mereka mestilah berpakaian formal, berkemeja, bertali leher, seluar ‘slack’ licin dan rambut disisir rapi. Kalau anda memilih untuk mencuba sedikit kelainan, anda mungkin dipandang sinis.

Begitupun, sebuah hotel di sini ‘menongkah arus’ apabila menetapkan tema Gatsby atau gaya barat era 1920an untuk sesi temuduga mereka baru-baru ini.

Meskipun agak unik namun majoriti calon yang hadir temuduga menunjukkan sikap ‘sporting’ mereka dengan bergaya sakan mengikut tema ditetapkan.

Seorang calon yang juga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Muhammad Iskandar Ramlan, 22, berkata, dia bersemangat memastikan dapat menghadiri temuduga dengan mengikut tema ditetapkan.

“Saya tahu mengenai adanya sesi temuduga ini pada minggu lalu menerusi Instagram personaliti media sosial, Ron Khamisan dan hadir kerana mahu mencari peluang bekerja sambilan.

“Walaupun kali pertama menghadiri temuduga, saya beranikan diri untuk datang kerana tertarik dengan kelainan yang ditetapkan.

“Bagi mengikut tema, saya terpaksa meminjam topi beret daripada rakan, manakala blazer dan tongkat kepunyaan ayah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kesungguhan anak muda itu bukan saja dapat dilihat menerusi pakaiannya tetapi dia turut membawa sebatang tongkat sekaligus melengkapkan imej Gatsbynya.

Bukan dia seorang bahkan difahamkan ada antara peserta temuduga sanggup meminjam aksesori dan pakaian daripada rakan serta ahli keluarga terdekat.

Temuduga itu menawarkan jawatan pegawai jualan dan pemasaran, makanan dan minuman (F&B), kejuruteraan, sumber manusia, kawalan dan keselamatan, kewangan, eksekutif pejabat dan bidang perkemasan (housekeeping).

Seorang lagi calon, Megat Iskandar Shah Megat Shahrul Anuar, 22, pula berkata, tiada masalah untuknya mengikut tema ditetapkan kerana dia sudah memiliki pakaian sedemikian.

“Saya sudah biasa berpakaian formal antaranya ketika menghadiri majlis makan malam cuma bezanya kali ini saya perlu bergaya ala ‘Gatsby’ untuk ke sesi temuduga kerja.

“Satu konsep temuduga yang lain daripada lain tetapi saya selesa dan tiada masalah kerana tidak perlu membeli pakaian berkenaan memandangkan ia sudah sedia ada di rumah,” katanya.

Bagi Muhamad Shahmi Shahaizi, 22, pula, dia mengakui tema yang ditetapkan menjadi tarikan utama untuknya mencuba nasib dalam sesi temuduga itu.

“Lagipun, jarang ada peluang untuk berpakaian sebegini, jadi apa salahnya datang,” katanya.