Peniaga mengaku jadi mangsa sihir

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

ADA seorang rakan meminta bantuan Merak Jalanan untuk mencari individu berpengalaman dalam bidang masakan bagi menguruskan kafe di syarikat miliknya.

Menurut rakan yang mahu dikenali sebagai Ammar, sudah puas dia mencari orang yang mampu menguruskan kafe berkenaan dalam tempoh yang bersesuaian.

Kata Ammar, paling lama seseorang pengendali kafe dapat bertahan hanyalah dua bulan.

Menurutnya, sehingga kini sudah empat individu yang cabut lari kerana tidak tahan dengan gangguan yang dihadapi tatkala menguruskan kafe berkenaan.

Ketika ditanya apa bentuk gangguan itu, Ammar berkata, kebanyakannya gangguan sihir menyebabkan pengendali kafe tidak dapat bekerja dengan baik.

Ada sahaja gangguan mistik yang menyebabkan pengendali kafe rasa tidak senang.

Merak Jalanan kemudiannya bertanyakan hal itu kepada seorang kenalan yang mempunyai restoran masakan Melayu di Lembah Klang.

Beliau yang dikenali sebagai Abe Ya dalam kalangan pelanggannya berkata, sejak menceburi bidang penyediaan makanan, dia juga pernah melalui semua gangguan itu.

Artikel Berkaitan:

Kata Abe Ya, dia pernah mengalami sakit-sakit, sering bergaduh dengan isteri, pelanggan tidak nampak kedainya malah dia sering terjumpa tanah kubur yang dibungkus di setiap penjuru kedainya.

Kata Abe Ya, banyak lagi yang dihadapinya dan semuanya dapat diatasi hingga membolehkan perniagaannya kekal maju dan terus berkembang.

Merak Jalanan pun bertanyakan tips yang boleh dikongsikan supaya dapat dijadikan panduan kepada peniaga lain.

Kata Abe Ya, setiap masalah yang dihadapi, dia akan mohon bantuan daripada ALLAH dan bukannya bomoh Siam atau sebagainya.

Katanya, berniaga dengan jujur dan setiap perbuatan dilakukan kerana ALLAH dan yang penting semua kena jaga solat daripada tauke hinggalah kepada staf barulah perniagaan akan berkat!