Tiada bukti Zakir Naik pengganas: Musa Hassan

A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan tegas menyangkal pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik sebagai seorang pengganas seperti didakwa sesetengah pihak.

Menurutnya, Zakir hanya pakar dalam bidang perbandingan agama antara Islam dan agama-agama lain, tidak ada satu perkara yang membuktikan beliau seorang pengganas.

"Zakir hanya pakar tentang perbandingan agama, beliau hanya bercakap soal itu. Apa bukti yang beliau pengganas?

"Beliau (Zakir) hanya mengetahui tentang agama, itu bidangnya," katanya kepada Sinar Harian.

Menurut bekas Ketua Polis Negara itu lagi, di bawah undang-undang ekstradisi suatu permohonan boleh ditolak jika wujud keadaan seperti pendakwaan bersifat politik disebabkan ras, agama, kerakyatan dan fahaman politik.

"Jika perbicaraan akan terjejas kerana ras, agama, kerakyatan dan fahaman politik dan jika dihalang oleh masa," katanya.

Musa berkata demikian apabila diminta mengulas berkenaan hantaran Twitter akaun 'Harapan Malaysia Baharu' yang menulis "Sebagai bekas Ketua Polis Negara, kenapa Tan Sri Musa (Hassan) sokong Zakir (Naik) yang diburu oleh Kerajaan India sebab menghadapi pelbagai tuduhan."

Musa membalas, "Adakah Pertubuhan Polis Antarabangsa (Interpol) telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Zakir jika beliau seorang penjenayah antarabangsa yang dikehendaki."

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menyatakan pendirian tegas untuk tidak melaksanakan proses ekstradisi terhadap Zakir.