Tulisan jawi: Guan Eng kemuka usul sekali lagi

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Kewangan, Lim Guan Eng akan sekali lagi membawa usul untuk menilai kembali pelaksanaan seni khat atau tulisan jawi dalam buku teks Bahasa Malaysia Tahun Empat dalam mesyuarat Kabinet Rabu ini.

Kali pertama membangkitkan isu sama pada 7 Ogos lalu, Guan Eng memaklumkan Kabinet hanya bersetuju pelaksanaannya bukanlah wajib tetapi pilihan.

Menurut Setiausaha Agung DAP itu lagi, pelaksanaannya juga dikurangkan dari enam ke tiga halaman dan tiada peperiksaan bagi pengisian tambahan subjek berkenaan.

“Saya akan bangkitkan sekali lagi cadangan untuk semakan terhadap pelaksanaan seni khat dan jawi dalam buku teks Bahasa Malaysia Tahun Empat.

ARTIKEL BERKAITAN: DAP akan kemuka pendirian isu tulisan jawi kepada Kabinet

"Perkara ini akan dibangkitkan dan tiada kaitan berkenaan sama ada seorang menteri berkata atau mengatakan ramai menteri tidak setuju ia diperkenalkan di sekolah rendah Cina dan Tamil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, menteri-menteri dari DAP telah menyuarakan kepada Kabinet minggu lepas mengenai sentimen komuniti bukan Melayu yang tidak gembira dengan keputusan Kementerian Pendidikan meneruskan pelaksanaan itu.

“Sentimen itu timbul kerana keputusan itu dibuat tanpa mengadakan perbincangan dengan pemegang taruh sekolah rendah Cina dan Tamil.

Artikel Berkaitan:

“Berikutan perkembangan terbaru ini dan perundingan serta maklum balas daripada orang ramai, saya akan membangkitkan perkara itu sekali lagi dalam Kabinet minggu ini,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan penggunaan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat boleh diteruskan.

Merujuk bantahan sesetengah pihak mengenai perkara itu, Dr Mahathir berkata, ia hanya melibatkan sebahagian kecil masyarakat dan kerajaan berpegang kepada dasar kemakmuran bersama serta tidak pernah menghalang penggunaan tulisan bahasa lain.

“Kita tak pernah bantah tulisan lain (termasuk) dalam bahasa Cina kerana ini adalah sesuatu yang istimewa di negara kita ini.

“Tulisan bahasa Cina tidak dibenarkan di negara lain seperti Indonesia umpamanya, Filipina dan Thailand, mereka guna tulisan mereka,” kata Perdana Menteri menjawab pertanyaan seorang peserta Townhall Semarak Merdeka di Melaka baru-baru ini.