Susu import dari Jerman dirampas di KLIA

Produk susu tepung yang dirampas MAQIS di KLIA, Sepang baru-baru ini.
Produk susu tepung yang dirampas MAQIS di KLIA, Sepang baru-baru ini.
A
A
A

SEPANG - Sebanyak 18 kotak produk tenusu yang diimport dari Jerman bernilai RM5,134 dirampas di Zon Komersial Bebas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini Sabtu lepas.

Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dalam satu kenyataan berkata, produk susu tepung itu dirampas kerana tidak mempunyai sijil kesihatan yang sah dari negara asalnya.

Pengarah MAQIS Selangor, Dr Tarmisal bin Alimin berkata, konsainan tersebut akan ditahan dan disita untuk tindakan lanjut.

“Hasil pemeriksaan pada jam 6.50 petang itu mendapati terdapat 18 kotak susu tepung yang dibawa iaitu seberat 180kg dan dianggarkan bernilai RM5,134.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] iaitu tidak mematuhi syarat import yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15(2) akta yang sama.

“Jika disabitkan bersalah mereka boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Tambah Tarmisal, bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya, mereka boleh didenda tidak melebihi RM150,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya.

“Pihak MAQIS sentiasa bersedia dalam melakukan tugasan di semua pintu masuk negara bagi memastikan komoditi haiwan, pertanian, ikan yang masuk ke dalam negara mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

“Ia bagi memastikan keselamatan makanan terjamin dan selamat dimakan oleh rakyat Malaysia,” katanya.