Tulisan jawi: Wajar kaji semula laksana secara pilihan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tokoh akademik dan kebudayaan Melayu, Profesor Tan Sri Dr Abdul Latiff Abu Bakar mendesak kerajaan mengkaji semula kelonggaran yang menetapkan pembelajaran tulisan jawi di sekolah Cina dan Tamil dilaksanakan secara pilihan.

Beliau yang juga Pengerusi Penasihat Warisan Peradaban Melayu, Lembaga Bahasa Melayu Melaka (LBM) berkata, orang bukan Melayu tidak sepatutnya gusar kerana tulisan jawi yang bakal diajar di sekolah rendah bukan bertujuan untuk berdakwah supaya mereka memeluk Islam.

Katanya, pengenalan tulisan jawi kepada murid tahun empat itu hanya bermatlamat memartabakan bahasa Melayu dan warisan negara.

“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik harus tegas, kaji balik keputusan untuk jadikan tulisan jawi hanya sebagai pilihan subjek murid tahun empat.

“Saya tak setuju, kita bukan guna tulisan jawi untuk berdakwah untuk murid bukan Islam masuk Islam, tapi cuma nak martabatkan bahasa Melayu sebagai warisan rakyat, ia wajib diketahui semua rakyat agar bahasa Lingua Franca ini tidak dilupakan oleh generasi akan datang,” katanya kepada Sinar Harian.

Abdul Latiff menambah, meskipun akur dengan arahan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk merobohkan replika buku di bumbung menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dibuat atas faktor keselamatan.

Namun, beliau mencadangkan agar DBP memikirkan langkah alternatif untuk menggantikan replika buku berkenaan sebagai lambang kekuatan dan maruah bahasa Melayu.

“Ia dirobohkan atas dasar profesional, jadi kita juga harapkan ia diselamatkan juga secara profesional.

Artikel Berkaitan:

“Replika buku itu lambang martabat bahasa Melayu, kena fikir cara untuk selamatkannya,” ujarnya.

Katanya, Kementerian Pendidikan tak boleh berdiam diri dalam hal DBP.