329 sekolah, institusi pendidikan rosak: KPM

Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) memotong dahan pokok yang tumbang diatas bumbung sebuah rumah penduduk dalam kejadian ribut yang melanda Kedah di Jalan Pegawai hari ini. - Foto Bernama
Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) memotong dahan pokok yang tumbang diatas bumbung sebuah rumah penduduk dalam kejadian ribut yang melanda Kedah di Jalan Pegawai hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - Kementerian Pendidikan (KPM) sudah mengenal pasti 329 sekolah dan Institusi Pendidikan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Pahang dan Terengganu yang mengalami kerosakan akibat dilanda Taufan Lekima semalam.

Dalam satu kenyataan, KPM menganggarkan kerosakan di tujuh negeri tersebut berjumlah RM20 juta dan tindakan sedang diambil untuk membaiki kerosakan tersebut.

"KPM sedang mengambil tindakan segera membaiki kerosakan yang berlaku dengan menyalurkan peruntukan kecemasan kepada Jabatan Pendidikan negeri, Pejabat Pendidikan daerah, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti dan agensi yang terlibat supaya tindakan pembaikan dapat dilaksanakan serta-merta.

"Setakat 5 petang hari ini, kerosakan yang dilaporkan di tujuh negeri ialah di Kedah sebanyak 115 sekolah, tiga kompleks kuarters, sebuah institut latihan dan dua Institut Pendidikan Tinggi Awam; di Pulau Pinang melibatkan 101 sekolah, empat kompleks kuarters dan dua institut latihan dan Perlis melibatkan 58 sekolah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, kerosakan akibat ribut turut dilaporkan di Selangor melibatkan 32 sekolah dan sebuah Institusi Pendidikan Tinggi Awam; Terengganu melibatkan tujuh sekolah dan sebuah Institut Latihan; Perak melibatkan sebuah Institusi Pendidikan Tinggi Awam; dan Pahang melibatkan sebuah sekolah.

Hujan lebat dan angin kencang melanda beberapa tempat di Pulau Pinang, Perlis dan Kedah malam tadi mengakibatkan banyak pokok tumbang dan bumbung diterbangkan angin selain kerosakan fizikal terhadap kemudahan awam dan menjejaskan lalu lintas.

Di Pulau Pinang, dilaporkan 300 kejadian pokok tumbang dengan tiga buah pusat pemindahan sementara dibuka melibatkan 71 mangsa namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Setakat 8 malam mendapati ketiga-tiga pusat pemindahan sementara iaitu Masjid Kuala Juru, Dewan Kafa Kuala Juru di Seberang Perai dan Masjid Hashim Yahya di bahagian pulau negeri masih dibuka untuk mangsa yang mengalami kerosakan struktur rumah. - Bernama

Artikel Berkaitan: