Identiti mangsa nahas maut di Lebuh AMJ dikenal pasti

Enam mayat mangsa kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan dibawa naik ke dalam kenderaan polis dari bilik mayat Hospital Alor Gajah untuk ke Hospital Melaka malam tadi. Foto: Bernama
Enam mayat mangsa kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan dibawa naik ke dalam kenderaan polis dari bilik mayat Hospital Alor Gajah untuk ke Hospital Melaka malam tadi. Foto: Bernama
A
A
A

MELAKA - Polis mengenal pasti identiti enam mangsa yang terlibat dalam kemalangan maut membabitkan tiga kenderaan di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (Lebuh AMJ) menghala ke Simpang Ampat, Alor Gajah, malam tadi.

Ketua Polis Alor Gajah, Superintendan A. Asmadi Abdul Aziz berkata, kemalangan tesebut membabitkan kenderaan jenis Mitsubishi Triton dan Isuzu D-Max serta sebuah treler tanpa muatan.

"Lima sekeluarga yang menaiki kereta Isuzu D-Max itu dikenali sebagai Azahar Ahmad, 57, iaitu pemandu dan Habibah Ahmad, 62, iaitu kakak kepada Azahar yang merupakan penumpang duduk di sebelah pemandu.

"Turut maut pada kejadian tersebut ialah isteri mangsa, Halimahtun Aris Padzil, 24, dua anak pemandu iaitu Alia, 17, dan Alisa, 15, yang duduk di bahagian penumpang di belakang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pemandu Mitsubishi Triton yang meninggal dunia pula dikenali sebagai Wang Chow Kuang, 51, manakala anak perempuanya, Wang Yi Tong, 2, cedera parah dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.

A. Asmadi berkata, pemandu treler tersebut bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, semua mayat mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, waris mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Azri yang ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka, memaklumkan jenazah Azahar dan Habibah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Brisu, Simpang Ampat.

Artikel Berkaitan:

Katanya jenazah dua beradik iaitu Alia dan Alisa akan dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Yong Peng, Johor, manakala jenazah Halimahtun akan dikebumikan di Kampung Changkat Tin, Perak.- Bernama