Tun M terima Anugerah Instafamous Inspirasi

Tun Dr Mahathir - Foto Bernama
Tun Dr Mahathir - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam menerima Anugerah Instafamous Inspirasi edisi kedua hurr.tv, hab digital gaya hidup kontemporari.

Dalam video penerimaan, Dr Mahathir berkata anugerah Instafamous Inspirasi tersebut disampaikan kepada beliau atas dasar kepimpinan, kerja kuat, dedikasi dan sumbangannya kepada rakyat Malaysia.

"Jika saya menjadi contoh yang baik, Alhamdulillah. Tiada jalan pintas. Jika kita sayang kepada negara, kita harus bekerja keras untuk menaikkan semula negara ke tahap terbaik," katanya.

Dr Mahathir berkata kini, maklumat dan berita dapat dicapai di mana-mana sahaja dengan telefon pintar dan seseorang itu dapat menjadi wartawan segera.

"Dengan kuasa yang ada ini, penting sekali untuk kita semua praktikkan sifat bertanggungjawab agar supaya maklumat disampaikan tepat, betul dan bukanlah berita palsu. Saya ucapkan terima kasih kepada hurr.tv di atas anugerah khas ini," katanya.

Dalam satu kenyataan oleh saluran hurr.tv, Pengarahnya Datin Elaine Daly berkata, anugerah Instafamous Inspirasi adalah justifikasi kukuh bahawa Dr Mahathir sememangnya seorang individu sentiasa mempamerkan kekuatan, disiplin serta tekad dalam yang memberikan terbaik kepada rakyat dan negara.

"Justeru, kami berharap anugerah ini mampu menjadi pemangkin inspirasi serta mendorong individu lain terutamanya belia di generasi digital kini untuk bekerja keras mencapai impian serta berdedikasi seperti mana ditunjukkan oleh Dr Mahathir," katanya.

Memasuki tahun kedua penganjuran, majlis itu turut memberikan anugerah khas kepada lapan personaliti lain yang memaparkan kewibawaan dan komitmen dalam bidang yang mereka ceburi.

Artikel Berkaitan:

Saluran hurr.tv, yang dilancarkan pada 2016, kini mencatatkan lebih 63 juta tontonan dan lebih 400 ribu pengikut di YouTube.

Manakala 1.1 juta pengguna telah melayari laman web hurr.tv dan mencatatkan lebih 2.7 juta tontonan. Facebook hurr.tv mempunyai sejumlah 26 ribu pengikut dan Instagram lebih 123 ribu pengikut. - Bernama