Lorong paling kiri khas untuk motosikal?

Baru Bian - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
Baru Bian - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Terdapat beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mencadangkan lorong paling kiri di lebuh raya dikhaskan untuk motosikal sahaja memandangkan kadar kemalangan melibatkan penunggang motosikal begitu tinggi.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, NGO berkenaan yang bertemunya turut mencadangkan laluan kecemasan khas untuk pengguna motosikal.

“Ada beberapa cadangkan bagaimana nak kurangkan kemalangan melibatkan penunggang motosikal. Bagi saya, ini adalah satu langkah yang positif dan kita menerima hakikat ini. Inilah situasi yang kita hadapi di Malaysia, di lebuh raya kita.

"Kita menerima cadangan tersebut. Kita dari kementerian akan melihat semua cadangan ini. Saya peka dengan keadaan ini dan akan melihat pilihan terbaik,” katanya pada program Bicara Minda Sinar Harian di Auditorium Karangkraf di sini semalam.

Menurutnya, masyarakat juga perlu mengubah cara pemanduan mereka kerana kajian menunjukkan antara punca utama kemalangan adalah kecuaian individu itu sendiri.

“Daripada kajian yang telah dibuat, 65 peratus kemalangan di jalan raya melibatkan penunggang motosikal dan kemalangan berlaku kerana cuai, yang selebihnya mungkin kenderaan tidak diservis dan keadaan jalan raya.

“Ini adalah satu perkara yang penting, bermaksud cara kita gunakan jalan raya perlu ditukar. Ada beberapa NGO datang berjumpa saya dan saya cadangkan beberapa cara untuk kurangkan kemalangan terutamanya penunggang motosikal.

Baru berkata, berdasarkan statistik itu, isu berkenaan boleh dibawa ke peringkat sekolah berikutan suatu ketika disiplin di jalan raya turut diajar kepada murid.

Artikel Berkaitan:

"Masa saya di sekolah rendah dulu, ada diajar mengenai disiplin di jalan raya. Mungkin kita perlu kembali kepada asas dalam isu ini, mungkin perlu diajar dari kecil,” katanya.