Disiplin pacu kemenangan Tok Gajah

Pemain Pahang ceria selepas mengalahkan Perak pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, semalam. - Foto Bernama
Pemain Pahang ceria selepas mengalahkan Perak pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, semalam. - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Keupayaan pemain Pahang menterjemahkan semua aspek yang diterapkan semasa latihan membolehkan pasukan itu melakar kemenangan 3-0 ke atas Perak pada saingan Piala Malaysia di sini malam tadi.

Ketua jurulatihnya, Dollah Salleh berkata, kemenangan yang meletakkan mereka di tangga teratas kumpulan C itu secara tidak langsung meredakan tekanan terhadapnya selaku pengendali skuad Tok Gajah.

"Pemain memberikan yang terbaik pada perlawanan ini dan pujian harus diberikan kepada pemain kerana apa yang diterapkan dalam latihan, mereka buktikan. Mereka berdisiplin bila bertahan dan melakukan 'counter attack' dengan memberi tekanan lebih awal kepada lawan.

"Kita juga sentiasa membuat latihan 'set piece' dan Alhamdulillah ia boleh dikatakan menjadi dalam sentiasa perlawanan dan saya berharap ini akan berterusan pada perlawanan seterusnya," katanya selepas perlawanan di Stadium Darul Makmur di sini malam tadi.

Pada perlawanan itu, Herold Mark Guolon menjaring gol pendahuluan Pahang pada minit ke-40, diikuti gol Saddil Ramdani pada minit ke-67 dan Lazarus Kaimbi (minit ke-81).

Dollah berkata, walaupun mengutip enam mata melalui dua kemenangan, pasukannya tidak boleh berasa selesa kerana mereka masih mempunyai empat perlawanan untuk diharungi di peringkat kumpulan. - Bernama

Artikel Berkaitan: