Tindakan pantas keluar rumah selamatkan tiga beranak

Mohd Anuar (tengah) ketika mengunjungi mangsa kebakaran di lokasi kejadian.
Mohd Anuar (tengah) ketika mengunjungi mangsa kebakaran di lokasi kejadian.
A
A
A

TEMERLOH - Tindakan pantas tiga beranak berusaha keluar dari rumah yang terbakar berjaya menyelamatkan nyawa mereka dalam kejadian di Taman Sri Layang dekat Mentakab, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa, Mustafa Mohd Nor, 48 dan isterinya, Rodilah Zulkifli, 47 serta anak sulung mereka, Mohd Aidil Haziq, 20 dapat menyelamatkan diri.

Mustafa berkata, insiden kebakaran itu disedari selepas terdengar bunyi pintu gedangsar rumahnya pecah.

"Ketika itu api pun sudah marak di ruang tamu. Memang tidak dapat bergerak ke depan dan isteri segera kejutkan anak.

"Kemudian kami segera ke pintu belakang dan berjaya membukanya dan terus keluar dari rumah menyelamatkan diri," katanya ketika menerima kunjungan Ahli Parlimen Temerloh, Mohd Anuar Tahir di lokasi kejadian, hari ini.

Dia berkata, biarpun tidak dapat menyelamatkan barangan dan dokumen serta rumahnya hangus, namun dia tetap bersyukur kerana insiden itu tidak membabitkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa.

Akibat kebakaran rumah yang didiami sejak 1995 itu, Mustafa menganggarkan mengalami kerugian sebanyak RM200,000.

Dalam kejadian tersebut, dua buah rumah berhampiran turut terjejas dengan kemusnahan kira-kira 20 peratus.

Artikel Berkaitan:

Api berjaya dipadamkan selepas 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mentakab bergegas ke lokasi kejadian.

Sementara itu, Mohd Anuar turut meminta supaya Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di setiap taman perumahan menganjurkan program keselamatan dan kesedaran dalam menangani sebarang bencana seperti kebakaran dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan.