Empat subsektor perkhidmatan guna pekerja asing ditutup

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) bersama Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama antara Menteri Dalam Negeri & Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali Ke-3 Bil 2/2019 di Bilik Mesyuarat ICU Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) bersama Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama antara Menteri Dalam Negeri & Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali Ke-3 Bil 2/2019 di Bilik Mesyuarat ICU Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto BERNAMA
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri bersama Kementerian Sumber Manusia bersetuju dengan cadangan penutupan penggajian pekerja asing bagi empat subsektor perkhidmatan lain yang dibekukan sejak 2009.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkhidmatan itu termasuklah dobi, tekstil, tukang gunting dan tukang emas sebagaimana yang dibentangkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Menurutnya, dasar semasa membenarkan penggantian pekerja asing bagi sektor tersebut turut akan diberhentikan dalam masa tiga tahun lagi secara berperingkat mulai tahun 2019 hingga 2021.

"Justifikasi penutupan adalah berdasarkan kepada keutamaan penggajian rakyat tempatan dan fokus kepada sumber-sumber ekonomi yang lebih memberangsangkan," katanya pada Mesyuarat Jawatankuasa bersama Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran mengenai pengurusan pekerja asing kali ketiga di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini.

Muhyiddin berkata, dua cadangan daripada Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) juga turut diputuskan supaya Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (Ilmia), Kementerian Sumber Manusia melaksanakan kajian lanjut bagi menentukan keperluan penggajian pekerja asing di bawah sub sektor gudang darat.

Jelasnya, berdasarkan hasil kajian itu kerajaan akan menentukan semula agensi kerajaan yang bersesuaian sebagai Agensi Kawal Selia (AKS) bagi sub sektor gudang darat.

"Pada masa sama permohonan pekerja asing sebagai pemandu prime movers di Wesports dan Pelabuhan Tanjung Pelepas dipertimbangkan mengikut prosedur sedia ada di Westports dipertimbangkan mengikut prosedur sedia ada dengan mengambil kira keperluan sebenar syarikat.

"Syarikat perlu mempertimbangkan faktor-faktor seperti kadar gaji, elaun dan insentif yang boleh menarik minat pekerja tempatan serta bergerak ke arah automasi dan mekanisasi," katanya.

Artikel Berkaitan: