MB Johor letak jawatan: Dakwaan tidak berasas

Dzulkefly (enam dari kiri) dan Syarul Izam (lima dari kiri) menyempurnakan majlis penyerahan tujuh ekor lembu korban sempena Hari Raya Aidiladha 1440H oleh CGPV.
Dzulkefly (enam dari kiri) dan Syarul Izam (lima dari kiri) menyempurnakan majlis penyerahan tujuh ekor lembu korban sempena Hari Raya Aidiladha 1440H oleh CGPV.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Exco Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dzulkefly Ahmad menyifatkan dakwaan terhadap Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal mahu meletak jawatannya seperti yang tular di laman sosial sebagai tidak berasas.

Menurutnya, isu yang ditularkan itu juga lebih berbentuk provokasi dan dakwanya jelas perkara itu disebarkan oleh pihak yang mewakili pembangkang.

"Sebenarnya saya difahamkan oleh pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) beberapa laporan polis telah dibuat tentang beberapa artikel yang dikeluarkan sebelum ini oleh pemilik akaun Facebook tersebut.

"Oleh itu, saya harap pihak polis dan SKMM mengambil tindakan yang sewajarnya kepada pihak yang tidak bertanggungjawab itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang isu berkenaan semasa menyempurnakan Majlis Penyerahan tujuh ekor lembu korban sempena Hari Raya Aidiladha 1440H oleh Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGPV) di Masjid Jamek Tanjung Kupang, Gelang Patah di sini.

Hadir sama Pengurus Besar CGPV, Ir Syarul Izam Sarifudin,

Program berkenaan dijadikan sebagai acara tahunan buat pemaju Forest City yang mana merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat mereka sejak 2015 lagi.

Kesemua lembu korban itu diagihkan ke tujuh buah kampung di sekitar kawasan pembangunan Forest City iaitu Kampung Pekajang, Tanjung Adang, Pok, Tiram Duku, Simpang Arang (Ladang), Tanjung Kupang, serta Desa Paya Mengkuang.

Artikel Berkaitan:

Dzulkefly berkata, isu berkenaan sengaja disebar bagi mengelirukan rakyat kerana mesejnya seolah-olah menggambarkan pimpinan Menteri Besar lemah selain tidak dapat menangani masalah yang timbul.

"Sebaliknya beliau (Sahruddin) amat komited berdepan dengan tersebut. Meskipun ketika itu beliau baharu sahaja pulang menunaikan Umrah, beliau terus berada di lapangan bersama agensi lain yang berkaitan," katanya.

Ditanya adakah kerajaan negeri akan membuat laporan polis berhubung isu tersebut, beliau memberitahu akan berbincang dengan Menteri Besar terlebih dahulu.

Semalam, Sahruddin menafikan beliau akan meletakkan jawatan nombor satu dalam pentadbiran negeri ini.

Sebaliknya, menurut Sahruddin, perkara itu hanyalah khabar angin semata-mata.

Terdahulu, pemilik Facebook Ops Johor mendakwa Sahruddin mahu meletak jawatan akibat tekanan rakyat.

Dakwa pemilik Facebook itu lagi, Adun Kepon itu mahu berbuat demikian disebabkan kegagalannya dalam menguruskan masalah pencemaran di Pasir Gudang selain tekanan semua pihak yang kecewa dengan pentadbiran Johor hari ini.