Bayi perempuan ditinggalkan bersama nota

Seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemukan di hadapan pagar sebuah rumah di Perumahan Pandan Damai hari ini.
Seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemukan di hadapan pagar sebuah rumah di Perumahan Pandan Damai hari ini.
A
A
A

KUANTAN - "Assalamualaikum kak tolong jaga anak ini. Saya tidak mampu, tolong ye kak."

Demikian sebahagian kandungan nota yang ditemui bersama seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat di hadapan pagar sebuah rumah di Perumahan Pandan Damai di sini hari ini.

Bayi yang dibungkus dengan kain batik itu ditemui jam 6.15 pagi oleh pemilik rumah tersebut yang ketika itu ingin mengambil beg sekolah anaknya yang tertinggal di dalam kereta.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, bayi perempuan itu kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk pemeriksaan kesihatan.

“Seorang lelaki hadir ke Balai Polis Jaya Gading bersama bayi dan membuat laporan bahawa bayi itu ditemui di hadapan rumah oleh anaknya.

"Hasil pemeriksaan doktor mendapati bayi perempuan tersebut berada dalam keadaan sihat dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Mohamad Noor berkata, bayi tersebut kini dalam pemerhatian pihak HTAA sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan awal polis mempercayai bayi itu baru dilahirkan. Polis giat memburu ibu kepada bayi berkenaan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai atau mana-mana klinik yang mempunyai maklumat berkaitan wanita mendapatkan rawatan kelahiran diminta menghubungi balai polis berhampiran," katanya