Pengawal keselamatan maut langgar belakang lori

Keadaan motosikal mangsa yang melanggar belakang lori di Kilometer 2.4 Lebuhraya Linkkedua Arah Utara, di sini malam semalam.
Keadaan motosikal mangsa yang melanggar belakang lori di Kilometer 2.4 Lebuhraya Linkkedua Arah Utara, di sini malam semalam.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Seorang pengawal keselamatan maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar belakang sebuah lori di Kilometer 2.4 Lebuhraya Linkedua Arah Utara, di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.10 malam itu, lelaki yang berumur 27 tahun itu maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Manakala, pemandu lori yang berusia 44 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah lori jenis Hino dan sebuah motosikal jenis Yamaha LC135.

"Hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila lori yang bergerak dari arah Singapura menghala ke Johor Bahru telah dilanggar oleh sebuah motosikal dari arah belakang yang bergerak pada laluan sama.

"Ekoran dari kemalangan tersebut motosikal mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan manakala lori (K1) mengalami kerosakan di bahagian kanan belakang.

"Mangsa yang menunggang motosikal kemudiannya telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak ambulans yang tiba," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Temenggung Sri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai untuk tujuan bedah siasat.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.