Nafi sekat ADUN pembangkang

Laporan Sinar Harian Online pada 6 Ogos lalu.
Laporan Sinar Harian Online pada 6 Ogos lalu.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah menafikan menyekat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang daripada menganjurkan program dirancang mereka dalam masjid.

Exco Agama, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, pihak pembangkang sebenarnya perlu mematuhi prosedur ditetapkan terlebih dahulu sekiranya merancang mengadakan program dalam masjid.

Menurutnya, pihaknya turut menyifatkan adalah lebih baik mandat mengadakan program seperti dirancang diserahkan kepada pihak pengurusan masjid.

"Sebelum ini bukan begitu berlaku. Jadi kita enggan sejarah berulang kembali apabila ada pihak tertentu menggunakan masjid sebagai tempat politik.

"Jikalau berhasrat mengadakan aktiviti, mereka perlu mengikuti kriteria ditetapkan namun kita rasakan lebih baik biarkan pihak pengurusan masjid yang mengadakan aktiviti," katanya ketika ditemui pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ke-14 di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan beberapa ADUN pembangkang bahawa mereka disekat daripada mengadakan sebarang aktiviti termasuklah keagamaan di masjid.

Namun pun begitu katanya, pihaknya mendapati tiada permohonan dibuat untuk melakukan aktiviti seperti dimaksudkan berkenaan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan keluhan disuarakan beberapa ADUN pembangkang termasuklah ADUN Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob bahawa program Kem Solat anjuran beliau dihalang.

Artikel Berkaitan: