PRU15: UMNO-Pas sepakat tidak bertanding sesama sendiri

Takiyuddin
Takiyuddin
A
A
A

KOTA BHARU - Tiada pertembungan kerusi antara Pas dan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, itu jaminan daripada kedua-dua parti selepas piagam yang akan dimeterai bulan depan.

Menurutnya, kerjasama juga melibatkan Gagasan Sejahtera yang turut tidak akan bertanding melawan antara satu sama lain dengan dua parti itu di satu-satu lokasi.

“Itu antara intipati paling penting yang dipersetujui dalam piagam yang akan dimeterai pertama membabitkan kerjasama kedua-dua parti, kedua dengan Gagasan Sejahtera untuk menghadapi PRU15.

“Dalam kata lain memastikan pertandingan dua penjuru sahaja dan tidak tiga penjuru,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis lawatan Sultan Muhammad V di lokasi kebakaran di Kampung Dusun Muda di sini petang tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, kerusi sedia ada yang dimenangi oleh kedua-dua parti dalam PRU14 akan diteruskan oleh parti terbabit kecuali jika ada sebarang perundingan lain.

“Pada dasarnya UMNO ada 38 kerusi manakala Pas terdapat 18 kerusi yang akan terus diwakili oleh kedua-dua parti.

"Kita muktamadkan hanya akan ada pertembungan dua penjuru yang mana semua pihak akan duduk berbincang tentang calon mana yang akan bertanding dan memastikan tidak ada pertembungan berlaku antara dua parti ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Takiyuddin berkata, intipati lain yang terdapat dalam piagam terbabit termasuklah bagi memantapkan hubungan dua parti di peringkat negeri dan kawasan manakala perkara lebih lanjut akan diumumkan nanti ketika Piagam Kerjasama Muafakat Pas-UMNO yang ditandatangani pada 14 September di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur.

“Memandangkan kerjasama ini mendapat sambutan luar biasa, kami menjangkakan kehadiran ahli dan penyokong sejumlah 6,000 orang dan berharap gabungan Pas-UMNO akan terus kekal sehingga PRU15.

“Sokongan terhadap gabungan itu bukan sahaja dalam kalangan orang Melayu malahan bangsa lain dari MCA dan MIC.

"Kami akan berbincang untuk menentukan calon parti mana bakal bertanding bagi kerusi yang tewas dan tidak semestinya sama rata kerana UMNO lebih banyak kerusi berbanding Pas,” katanya.