Tukang masak maut, motosikal bergesel kereta di bulatan

Keadaan motosikal mangsa selepas kejadian berkenaan.
Keadaan motosikal mangsa selepas kejadian berkenaan.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Seorang tukang masak maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan di bulatan Puteri Harbour, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam kejadian jam 1.36 petang itu, Francis Ng Kuok Guan, 27, menunggang motosikal sendirian di lorong kanan dari arah Puteri Harbour.

"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta jenis Audi TT S yang dipandu seorang lelaki warga Austria berusia 47 tahun di lorong kiri bergesel dengan motosikal dinaiki mangsa.

"Akibat perlanggaran terbabit, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia jam 9.48 malam ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Separa Rapi (HDU) HSA.

"Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati laluan berkenaan merupakan Jalan Bandaran dan kawasan bulatan dengan kemudahan dua lorong.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan: