Sedekah hanya sebahagian harta atau bagaimana seperti dianjurkan Islam?

SEDEKAHLAH hanya sebahagian daripada harta kita. -Gambar hiasan
SEDEKAHLAH hanya sebahagian daripada harta kita. -Gambar hiasan
A
A
A

AMALAN bersedekah pada bila-bila masa amat digalakkan dalam Islam kerana banyak ganjaran yang dijanjikan ALLAH SWT kepada mereka yang berbuat demikian.

Selain mendapat keampunan ALLAH SWT, ia juga akan membuka pintu rezeki kita.

Namun, dalam kita bersedekah atau berinfak ke jalan ALLAH, adakah kita perlu menyumbangkan semua harta kita?

Sebelum menjawab persoalan itu, kita perlu fahami bahawa harta ialah perkara yang amat dikehendaki oleh setiap manusia yang waras.

Ia bukan sahaja menjadi keperluan kita, bahkan sememangnya fitrah manusia cintakan harta seperti yang disebutkan dalam nas.

Firman ALLAH SWT: "Serta kamu pula sayangkan harta secara tamak haloba!" (Surah al-Fajr, ayat 20)

Hakikat kehidupan di dunia memerlukan sejumlah harta dalam menguruskan diri sendiri dan keluarga yang menjadi taklifan ke atas kita.

Sebenarnya kesenangan keluarga dan diri sendiri akan membawa kepada memelihara kemuliaan maruah yang dituntut dalam Islam.

Artikel Berkaitan:

Ini kerana, antara prinsip Islam ialah jangan menyusahkan orang lain dan yang lebih baik ialah menolong seseorang daripada seseorang itu dibantu.

Justeru, kita amat perlu kewangan yang menyebabkan kita selamat daripada dibantu oleh seseorang.

Tambahan pula, tiada siapa yang tahu masa depan kita.

Boleh jadi, kita jatuh sakit atau ditimpa musibah sehingga menuntut keperluan mendesak dalam menghadapi ujian itu.

Jadi, berapakah nilai yang sesuai untuk bersedekah?

Sedekahlah hanya sebahagian harta.

Dalam hal itu, ada kisah tentang sahabat Nabi Muhammad SAW bernama Sa'ad Ibn Waqqas RA.

Ketika sakit, beliau ingin mewakafkan atau mendermakan seluruh hartanya sedangkan beliau mempunyai anak.

Maka, baginda SAW hanya membenarkan satu pertiga daripada harta tersebut untuk didermakan.

Daripada Sa’ad Ibn Waqqas RA, beliau berkata: "Rasulullah SAW pernah menziarahiku ketika sakit pada masa Hajjatul Wada’ yang aku rasa membawa kematian.

Lantas aku bertanya: “Hai Rasulullah, telah kamu melihat keadaanku yang sakit sedangkan aku mempunyai harta dan tidak ada yang mewarisiku kecuali anak perempuanku satu-satunya. Bolehkah aku bersedekah dengan dua pertiga hartaku?

Baginda menjawab: “Jangan.”

Aku bertanya: "Apakah aku menyedekahkan separuh daripadanya?"

Baginda SAW menjawab: “Jangan.”

Aku bertanya lagi: "Apakah aku sedekahkan sepertiganya?"

Rasulullah SAW menjawab: “Ya, sepertiga dan sepertiga itu banyak. Sesungguhnya engkau meninggalkan ahli warismu dalam keadaan kaya lebih baik daripada engkau meninggalkan mereka dalam keadaan fakir meminta-minta kepada orang ramai. Dan tidaklah kamu sedekah semata-mata mencari keredaan ALLAH kecuali kamu diberi pahala dengannya sekalipun kamu memberi satu suapan kepada mulut isterimu juga dikira pahala." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kepada mereka yang selalu bersedekah, istiqamah dengan usaha tersebut.

Semoga apa yang disedekahkan memperoleh keberkatan daripada-Nya.

(Sumber: A'-Kafi #1092: Bolehkah Sedekahkan Kesemua Harta Tanpa Tersisa? Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)