Keluarga mangsa kebakaran terima sumbangan

Anuar Tan turun padang melihat sendiri lokasi kebakaran yang berlaku di Kampung Dusun Muda, Kota Bharu malam tadi.
Anuar Tan turun padang melihat sendiri lokasi kebakaran yang berlaku di Kampung Dusun Muda, Kota Bharu malam tadi.
A
A
A

KOTA BHARU - Tujuh keluarga mangsa kebakaran di Kampung Dusun Muda, di sini hari ini menerima sumbangan barangan keperluan dan wang tunai bagi meringankan beban masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Datuk Anuar Tan Abdullah berkata, sumbangan yang disalurkan berbentuk wang tunai, makanan, toto, bantal dan lain-lain keperluan bagi kegunaan mangsa.

“Kami sangat bersimpati dan prihatin dengan nasib mereka yang ditimpa musibah dan berharap mereka terus bersabar. Dengan sumbangan ini diharap dapat meringankan beban keluarga yang terlibat.

“Selain barangan keperluan mangsa kebakaran juga turut menerima wang tunai menerusi Tabung Serambi Mekah,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Sumbangan yang disalurkan kepada mangsa termasuk daripada Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB - BRI); Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM); Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Syarikat Nasrom (Perodua).

Sementara itu, seorang warga emas juga mangsa kebakaran tersebut, Halimah Awang, 65, berkata dia masih terkejut dengan kejadian itu namun bersyukur kerana dia bersama anak perempuan berusia 29 tahun terselamat.

“Ketika kejadian saya baru hendak solat Isyak tiba-tiba terdengar riuh rendah dari luar rumah dan pada masa sama api cepat merebak. Saya sangat berterima kasih kepada semua pihak yang cepat menghantar bantuan kepada kami kerana kejadian itu menyebabkan kami kehilangan tempat tinggal,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tujuh rumah hangus terbakar

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian semalam melaporkan tujuh rumah musnah dalam kebakaran menyebabkan lebih 30 penduduk tinggal sehelai sepinggang dalam kejadian di Kampung Dusun Muda di sini pada jam 9 malam.

Sejumlah 59 anggota dari lima balai bomba dikerahkan ke tempat kejadian dengan dibantu oleh 31 anggota polis serta bomba sukarela.

Kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada jam 9.59 malam, manakala jumlah kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan.