X

Kindly register in order to view this article
!

Isu jawi: 90 NGO serah memorandum kepada Dong Zong

Mohd Ashraf (tengah) dan wakil-wakil NGO menunjukkan memorandum yang diserahkan kepada Dong Zong di hadapan Ibu Pejabat Dong Zong di Kajang hari ini.
A
A

KAJANG - Angkatan Gerak Minda Malaysia (Agra) hari ini menghantar memorandum kepada Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) bagi mendesak pertubuhan itu menghormati hasrat kerajaan melaksanakan pengenalan seni khat dan tulisan jawi sebagai sebahagian mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat.

Memorandum yang disokong oleh 90 organisasi dan NGO-NGO Nasionalis se-Malaysia itu turut menasihati mana-mana badan sealiran dengan Dong Zong agar tidak menjadi api dalam sekam terhadap hasrat kerajaan membina identiti nasional.

"Tekad mendidik pengajian khat melalui penerapan tulisan jawi begitu penting sejajar dengan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan perpaduan. Tulisan jawi juga terdapat pada jata negara, jata negeri-negeri dan wang kertas Malaysia.

"Oleh itu, Agra dan badan-badan seangkatan mendesak supaya Dong Zong, Jiao Zong dan semua pihak menghormati hasrat kerajaan meneruskan pelaksanaan tulisan khat ini. Tidak perlu dipersoalkan mengapa kerajaan mengambil inisiatif ini agar bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan terus terpelihara," menurut isi kandungan memorandum itu.

Memorandum tersebut diserahkan oleh Presiden Agra, Mohd Ashraf Mustaqim kepada Ketua Pegawai Eksekutif Dong Zong, Leong Seng Yee dan Ahli Jawatankuasa Pusat Dong Zong, Low Chee Chong di hadapan ibu pejabat Dong Zong di sini hari ini.

Kira-kira 50 wakil daripada NGO-NGO terlibat turut hadir dalam sesi penyerahan memorandum itu.

Mohd Ashraf ketika ditemui media berkata, desakan dalam memorandum itu bukan bersifat perkauman atau politik.

"Jawi tidak terhad kepada orang Melayu saja, tetapi ia merupakan perlambangan budaya di Malaysia. Tulisan ini juga bukan satu perkara baharu kerana telah digunakan oleh berbilang bangsa sejak zaman kemerdekaan lagi.

"Desakan dalam memorandum ini merupakan persoalan nasional untuk menyatukan kebudayaan dan jati identiti negara. Kita mahu semua bangsa bergabung di bawah satu kebudayaan nasional melalui tulisan jawi dan pemerkasaan Bahasa Melayu," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Rakyat Malaysia perlu bangga belajar jawi

Seng Yee (kanan) dan Chee Chong bercakap kepada pemberita selepas menerima memorandum daripada Agra di hadapan Ibu Pejabat Dong Zong di Kajang hari ini.
Seng Yee (kanan) dan Chee Chong bercakap kepada pemberita selepas menerima memorandum daripada Agra di hadapan Ibu Pejabat Dong Zong di Kajang hari ini.

Sementara itu, Chee Chong berkata, Dong Zong akan menyerahkan memorandum itu kepada jawatankuasa pusatnya untuk dibincangkan.

"Dong Zong menghormati semua pandangan dan kita terima memorandum ini dengan hati terbuka. Kita akan teliti kandungan memorandum terlebih dahulu dan dari situ, kita boleh jelaskan apa pandangan kita," katanya.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching mengumumkan penggunaan tulisan jawi dalam buku teks di semua sekolah dalam negara termasuk sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

Pengumuman itu mendapat bantahan ramai pihak termasuk pertubuhan Cina dan pemimpin politik seperti DAP, MCA dan Gerakan.