India hapuskan status khas Kashmir

Ribuan anggota keselamatan kini berkawal di sekitar wilayah Kashmir.
Ribuan anggota keselamatan kini berkawal di sekitar wilayah Kashmir.
A
A
A

NEW DELHI - Kerajaan India hari ini tergesa-gesa untuk menghapuskan status khas Kashmir menerusi dekri presiden di bawah perubahan paling ketara dalam tempoh tujuh dekad, sekali gus mengetatkan cengkaman mereka ke atas wilayah yang didiami majoriti orang Islam itu.

Menteri Dalam Negeri, Amit Shah yang merupakan sekutu rapat Perdana Menteri, Narendra Modi memberitahu Parlimen bahawa Presiden Ram Nath Kovind telah menandatangani dekri yang memansuhkan Artikel 370 dalam Perlembagaan yang memberikan status autonomi khas kepada wilayah tersebut.

"Ia berkuatkuasa serta-merta," ujarnya.

Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi turut mencadangkan rang undang-undang untuk membahagikan Kashmir kepada dua wilayah untuk ditadbir secara langsung oleh New Delhi.

Awal pagi tadi, kerajaan turut mengenakan perintah berkurung di Kashmir yang ditadbir India selepas ia mengerahkan puluhan ribu tentera di wilayah berpecah-belah itu pada minggu lalu.

Susulan keputusan itu, bekas Ketua Menteri Kashmir, Mehbooba Mufti menerusi Twitter menyifatkan langkah itu sebagai 'hari paling gelap dalam demokrasi India'.

"Keputusan unilateral kerajaan India (GOI) untuk memansuhkan Artikel 370 itu adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan yang menyaksikan pendudukan di Jammu dan Kashmir," tegasnya.

Sejak tengah malam tadi, perkhidmatan telefon, internet dan rangkaian kabel dilaporkan diputuskan di wilayah didiami lebih tujuh juta penduduk itu selepas ketegangan meningkat selama beberapa hari.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, ribuan pelancong juga diarahkan keluar dari Kashmir atas alasan terdapat ancaman daripada kumpulan militan yang disokong Pakistan.

Islamabad bagaimanapun menafikan tuduhan itu dan mendakwa Modi cuba merampas wilayah tersebut dengan mengubah statusnya supaya pihak luar tidak mempunyai hak untuk membeli hartanah atau mendapatkan pekerjaan di Kashmir.

Sekitar Kashmir kini dikawal ketat ribuan pasukan separa tentera dan polis antirusuhan yang turut mengepung laluan utama dengan kawat berduri dan sekatan keluli di beberapa bahagian di Srinagar.

Langkah keselamatan yang ketat itu juga mencetuskan panik dalam kalangan penduduk yang mula beratur panjang di luar stesen minyak, mesin wang tunai dan kedai runcit untuk mendapatkan bekalan makanan. - Agensi