Pemilik 112 tong berisi cecair dikenakan notis

Hee Loy Sian
Hee Loy Sian
A
A
A

SHAH ALAM - Pemilik kepada lebih 100 tong berisi minyak yang dibuang di dua lokasi berasingan berdekatan sungai di perkampungan orang asli Sungai Jang, Kerling, Hulu Selangor dikenal pasti.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Hee Loy Sian berkata, pemilik tong berkenaan merupakan seorang pemilik kebun tanam sayur berdekatan kawasan tersebut.

Menurutnya,siasatan dibuat pihaknya bersama Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) serta beberapa agensi terlibat dengan menjalankan pemantauan di lokasi pembuangan tong berisi cecair dan LUAS bertindak segera dengan memasang 'condone tape' pada kesemua tong berkenaan di lokasi kejadian.

"Hasil siasatan mendapati pemilik tong berkenaan adalah merupakan seorang pemilik kebun tanam sayur berdekatan di kawasan tersebut.

"Dalam masa sama, pihak Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) telah memberikan dua notis kesalahan kepada pemilik tong tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut memberitahu, siasatan lanjut turut mendapati tong-tong tersebut diedar oleh sebuah kilang yang bertempat di Kampung Sungai Dara, Behrang Ulu, Perak.

Sehubungan itu katanya, tindakan susulan telah diambil kepada pihak bertanggungjawab dan Majlis Daerah Tanjung Malim turut mengeluarkan notis kesalahan.

"Jabatan Alam Sekitar telah mengarahkan pemilik kilang tersebut untuk menguruskan tong-tong tersebut mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan jauh dari sungai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, tong-tong di lokasi kejadian telah dihantar semula ke kilang terlibat.

Terdahulu, penduduk orang asli berdekatan Kampung Sungai Jang, Kerling menemui 112 tong berisi minyak bitumen yang dibuang di dua lokasi berasingan di tepi jalan berhampiran sungai kampung berkenaan.

Yang Dipertua MDHS, Shukri Mohamad Hamin berkata, pihaknya menerima aduan berhubung perkara tersebut pada Jumaat lepas dan penduduk memaklumkan aktiviti itu dikesan sejak sebulan lalu.

Menurutnya, siasatan awal yang dilakukan pada jam 11 malam mendapati lokasi tong berkenaan terletak hanya 10 meter dari pembetung sungai.