[DIKEMASKINI] Batu Putih, Jenang diberi nafas baharu

Ariffin (dua dari kanan) diiringi Tun Ahmad Faisal (kanan) melawat ke Jenang dan Batu Putih.
Ariffin (dua dari kanan) diiringi Tun Ahmad Faisal (kanan) melawat ke Jenang dan Batu Putih.
A
A
A

MARANG - Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM465,000 bagi membangun serta mempromosikan semula industri pelancongan di dua buah kampung tradisional di Marang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, sebanyak RM255,500 diperuntukkan bagi pembangunan Dataran Batu Putih di Batu Putih.

Katanya, sebanyak RM210,000 lagi akan melibatkan pembangunan infrastruktur dan produk pelancongan di Jenang dan kedua-dua kampung berkenaan merupakan kampung tradisional yang berjiran.

Menurutnya, pembangunan infrastruktur di Jenang itu termasuk projek menaik taraf jeti di kampung berkenaan yang dijangka akan mampu untuk menarik lebih ramai pelancong apabila ia siap kelak.

“Jenang memang terkenal sejak dulu, ramai pelancong datang kerana keunikan hasil tempatan dan suasananya. Kami akan hidupkan perkampungan ini kembali menjadi destinasi pelancongan utama.

“Industri kraftangan serta tempat pemprosesan 'nisang' (nisan kerek), dodol serta makanan tradisional lain antara yang dikenali di kampung ini,” katanya selepas melawat kampung itu di sini semalam.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong dan Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.

Dalam pada itu, sejumlah RM255,500 yang diperuntukkan di Batu Putih adalah bagi pembangunan Dataran Batu Putih yang bakal menjadi sebagai satu daya tarikan baharu kepada pelancong.

Artikel Berkaitan:

Ariffin berkata, kawasan tanah lapang berhampiran dataran berkenaan juga akan dibangunkan sebagai Lembah Kelapa Marang sekaligus mampu meningkatkan ekonomi penduduk di sekitarnya.

Jenang dan Batu Putih adalah dua kampung yang berjiran malah berkongsi produk yang dihasilkan seperti nisan kerek, dodol daun palas, nira kelapa serta produk lain berasaskan air minuman itu.