Ghauth Jasmon dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah UPM

Kementerian Pendidikan Malaysia
Kementerian Pendidikan Malaysia
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melantik Tan Sri Ghauth Jasmon sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia (UPM) menggantikan Datuk Seri Syed Razlan Syed Putra Jamalullail.

Dalam satu kenyataan KPM berkata, pelantikan ini adalah sebagai sebahagian daripada usaha untuk memastikan sasaran UPM sebagai 100 universiti terbaik dunia dapat dicapai dalam tempoh dua tahun.

“KPM berpandangan beliau (Ghauth) merupakan tokoh paling sesuai untuk memegang jawatan ini berdasarkan kepada reputasi baik beliau dalam aspek pengurusan dan pentadbiran universiti, termasuk kejayaan beliau semasa menjadi Naib Canselor Universiti Malaya (UM).

“Keputusan ini diambil setelah mengambil kira pandangan pelbagai pihak di UPM termasuk akar umbi di universiti berkenaan dan KPM sentiasa mengutamakan kepentingan institusi dalam hal ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, KPM turut menjelaskan keputusan memendekkan kontrak Syed Razlan dibuat atas pertimbangan profesional demi kepentingan universiti berkenaan secara keseluruhan.

“KPM amat menghargai sumbangan dan jasa sepanjang beliau menjawat jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah UPM. KPM yakin keputusan ini mampu memacu UPM ke arah kecemerlangan dan mencapai tahap terbaik sebagai antara universiti awam berkualiti di negara ini,” katanya.

Artikel Berkaitan: