Warga emas maut motosikal terlibat kemalangan

416992
416992
A
A
A

MELAKA - Seorang warga emas maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 5, Jalan Melaka-Muar di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.55 pagi itu, kemalangan membabitkan sebuah kereta Proton Waja, sebuah Produa Viva dan sebuah motosikal jenis Honda EX-5.

Mangsa yang merupakan penunggang motosikal, Zulkeplee Keman, 64, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta jenis Proton Waja dipandu lelaki berusia 20 tahun dari arah Muar ke Melaka hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.

"Pada masa sama, kereta Produa Viva dari arah bertentangan cuba mengelak ke kiri lalu terbalik, manakala mangsa yang ketika itu menunggang motosikal di belakang Viva telah terlanggar Proton Waja yang terbabas.

"Berikutan rempuhan itu, penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian manakala kedua-dua pemandu terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Arshad, mayat mangsa dibawa ke Hospital Jasin untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan: