Promosi buah tempatan ke negara luar: Salahuddin

Salahuddin (tengah) ketika menyempurnakan gimik perasmian Program Keusahawanan Tani bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani di Taman Bakri Makmur, Batu 5 Muar hari ini.
Salahuddin (tengah) ketika menyempurnakan gimik perasmian Program Keusahawanan Tani bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani di Taman Bakri Makmur, Batu 5 Muar hari ini.
A
A
A

BAKRI - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) bakal mempromosikan buah-buahan tempatan secara meluas di negara luar sebagai langkah menarik pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, inisiatif itu bukan sahaja mempromosikan negara namun ia turut memberi peluang besar kepada petani.

Menurutnya, selain China kempen berkenaan juga akan dipergiatkan di Singapura, Korea Selatan, Jepun, negara Timur Tengah dan Eropah.

“Menerusi kempen ini membolehkan kita menarik pelancong untuk datang dan menikmati buah-buahan tempatan. Ia secara tidak langsung akan memberi potensi untuk melihat pasaran dan mengeksport produk tanaman ke negara luar.

“Kita akan terus berusaha memperkenalkan buah-buahan tempatan lain seperti rambutan, pulasan, manggis dan rock melon supaya ia dapat dipasarkan di luar negara utamanya negara China kerana ia menjanjikan pasaran besar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Keusahawanan Tani bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani di Taman Bakri Makmur, Batu 5 di sini hari ini.

Salahuddin berkata, selepas kejayaan pasaran di China beliau juga menjangkakan hasil pertanian itu akan turut menembusi pasaran eksport ke negara lain.

Sementara itu, dalam perkembangan sama MOA turut menyatakan keyakinan lonjakan hasil pertanian negara yang kini mulai mendapat permintaan tinggi dalam sektor pemasaran.

Artikel Berkaitan:

Menurut Salahuddin, berdasarkan lawatannya ke beberapa negara beliau mendapati bekalan pertanian dari Malaysia tidak mencukupi dalam menampung permintaan.

“Bagi saya sekarang ni tiada lagi masalah pemasaran. Kalau dulu tanam dan hasilkan produk pertanian, bimbang tak laku atau tak dibeli.

“Tetapi daripada pengalaman saya turun padang ke seluruh negara, pihak kami dapati bekalan itu sendiri tidak mencukupi. Maka saya berpendapat inilah peluang terbaik usahawan kita untuk perbanyakkan produk pertanian mereka,” katanya.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Naning, Md Ysahruddin Kusni dan ADUN Bentayan, Ng Yok Howe.