MAPS jawab aduan Ardell Aryana

Aduan yang dimuatnaik Ardell Aryana menerusi laman instagramnya.
Aduan yang dimuatnaik Ardell Aryana menerusi laman instagramnya.
A
A
A
PENGURUSAN Taman Tema Animasi Studio (MAPS) akan menambah baik latihan khidmat pelanggan bagi melindungi keselamatan pengunjung taman tema berkenaan.

Dalam satu kenyataan media, MAPS memaklumkan kesal dengan kejadian pecah kenderaan, Ahad lalu membabitkan kereta pelakon, Ardell Aryana yang dimuatnaik menerusi laman Instagram pelakon itu, semalam.

"Pihak MAPS telah menghubungi artis berkenaan bagi menyatakan permohonan maaf.

"Siasatan berhubung kejadian ini masih dijalankan dan kami memberi jaminan tidak akan berkompromi dengan isu berkaitan keselamatan pengunjung," katanya.

MAPS turut memaklumkan, jumlah kakitangan telah ditambah terutama di musim cuti sekolah dan cuti umum bagi meningkatkan lagi mutu perkhidmatan dan keselesaan pengunjung.

"Kami juga akan memberikan latihan-latihan khidmat pelanggan kepada semua kakitangan bagi meningkatkan tahap kepuasan pengunjung MAPS," katanya.

Menerusi laman instagram ardellaryana menulis, dua cermin kereta miliknya pecah selain mengalami kerosakan pada pintu kanan.

Kejadian berlaku kira-kira jam 7.50 malam ketika dia bersama keluarga menghabiskan cuti hujung minggu di taman tema berkenaan.

"Dari segi keselamatan memang secara jujur dan penuh kecewa saya boleh katakan perlu dinaik taraf, kerana alasan yang diberikan tidak cukup orang, cuma enam orang yang bertugas waktu ini...taman tema besar yang jaga enam orang..?," tulisnya yang turut memuatnaik empat keping gambar berhubung kejadian itu.
Artikel Berkaitan: