Malaysia perlu rebut peluang waktu krisis AS-China

Azmin beramah mesra dengan pemilik rumah Hisham Syafie dan isterinya Ku Marshila Ku Azhar semasa melakukan lawatan pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Casa Anggun, semalam.
A
A

GEORGE TOWN - Perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China sewajarnya dilihat sebagai peluang untuk Malaysia memainkan peranan meningkatkan perdagangan dalam kalangan negara-negara ASEAN.

Sehubungan itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kesempatan itu sewajarnya dimanfaatkan Malaysia agar tidak melihatnya sebagai krisis, sebaliknya menjadi lebih proaktif merebut peluang yang ada.

"Banyak syarikat-syarikat besar China dan AS yang bertindak mengalihkan operasi masing-masing ke rantau ini termasuk Malaysia berikutan pasaran ASEAN yang besar dengan jumlah penduduk sebanyak 630 juta orang.

"Jika kita gabungkan dengan populasi China sebanyak 1.4 bilion, ini bermakna ada hampir dua bilion penduduk, oleh itu pasarannya amat luas.

"Malah, Malaysia juga boleh menjadi pintu masuk untuk mereka menembusi pasaran ASEAN kerana pasaran rantau itu yang terlalu besar," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci Pangsapuri Kos Sederhana Rendah Casa Anggun di Sungai Nibong, di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pertikaian dagangan Washington-Beijing yang berlanjutan, termasuk rundingan dagangan terbaharu kedua-dua negara di Shanghai pada Rabu lepas yang berakhir tanpa sebarang keputusan konkrit.

Mengulas selanjutnya, Mohamed Azmin berkata, beliau tidak menafikan bahawa pertikaian AS-China itu turut memberi kesan kepada ekonomi negara memandangkan kedua-dua negara kuasa ekonomi terbabit merupakan rakan dagang penting untuk Malaysia.

"Dalam dialog dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang semalam, saya menegaskan bahawa saingan sebenar terhadap pertumbuhan ekonomi domestik itu adalah pelaburan domestik.

"Ini penting untuk diberi perhatian, malah banyak usaha sedang dijalankan untuk menjana pelaburan domestik dan pertumbuhan ekonomi dalam negara," katanya.

Selain itu, beliau turut mengingatkan kalangan pemaju hartanah untuk menerapkan konsep baharu bagi pembangunan rumah mampu milik yang tidak hanya merangkumi aspek keluasan selesa tetapi perlu dilengkapi pelbagai kemudahan lain seperti dewan orang ramai, kolam renang, gimnasium, surau dan sebagainya.

"Ini tiada sebelum ini kerana konsep pembangunan itu hanya sekadar menyediakan ruang untuk diduduki namun tidak 'liveable' (tidak sesuai didiami dari segi kehidupan) dan tidak harmoni. Sebelum ini juga hanya terdapat satu atau dua bilik sahaja.

"Namun sekarang kerajaan menetapkan konsep baharu pembangunan rumah mampu milik ini mestilah sekurang-kurangnya tiga bilik dengan reka bentuk baharu supaya kehidupan menjadi lebih selesa. Ini satu contoh model baharu yang boleh diteruskan," katanya. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia