KUIPSAS martabatkan tulisan jawi

Dr Asmadi Abdul Rahman
Dr Asmadi Abdul Rahman
A
A
A

KUANTAN - Sejak abad ke-17 tulisan jawi menjadi bahasa perantara dan pengantara penting dalam semua urusan pentadbiran, adat istiadat, perdagangan dan urusan seharian masyarakat.

Tetapi atas alasan perpaduan kaum, tulisan rumi dijadikan tulisan rasmi hingga hampir melenyapkan penggunaan tulisan jawi pada hari ini.

Lebih menyedihkan apabila tidak ramai generasi baharu yang berkebolehan menulis dan membaca tulisan jawi dengan baik padahal tulisan berkenaan pernah mencapai zaman kegemilangannya satu ketika dahulu.

Menyedari hakikat itu, Munsyi Dewan Jawi Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) dengan kerjasama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) mengambil inisiatif melaksanakan pelbagai program berasaskan tulisan jawi.

Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni KUIPSAS, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, kerjasama yang dilaksanakan sejak 2013 itu bertujuan memartabatkan tulisan jawi dan menyemarakkan semula tulisan berkenaan sebagai budaya hidup masyarakat Islam amnya.

"Program yang telah kita laksanakan berbentuk bengkel dan sehingga ke hari ini kita telah berjaya melakukan sebanyak 20 bengkel kemahiran jawi yang telah dilaksanakan di seluruh daerah di negeri ini.

"KUIPSAS juga mengalu-alukan mana-mana agensi yang berkenaan menjemput Musnyi Dewan Jawi Pahang untuk mengadakan bengkel-bengkel kemahiran jawi di premis mereka kerana kita mahukan rakyat di negeri ini mahir dengan bahasa jawi," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Dalam pada itu, Asmadi yang juga Musnyi Dewan Jawi Pahang berkata, pihaknya berterima kasih kepada Kerajaan Pahang memberi peluang dan melantik KUIPSAS sebagai pusat rujukan bagi ejaan tulisan jawi di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ini penting bagi memastikan ejaan jawi tersebut selari mengikut daftar kata yang dikeluarkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

"Kami dilantik bagi memastikan tiada kesalahan ejaan jawi sebelum digunakan yang mana Pahang kini telah menguatkuasakan penggunaan tulisan jawi di papan nama premis perniagaan, papan tanda pejabat, agensi kerajaan, papan tanda nama jalan dan pejabat pendidikan tinggi di negeri ini.

"Langkah ini selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang mahukan semua pihak memberikan perhatian yang serius dalam usaha memperkasakan tulisan jawi khususnya di Pahang. Jadi, kita tidak mahu terdapat kesalahan yang dilakukan bila ianya sudah dipaparkan.

"Usaha ini juga dilihat selari dengan hasrat Kementerian Pelajaran yang mahu melaksanakan pengenalan tulisan jawi dalam mata pelajaran bahasa Melayu untuk pelajar tahun empat pada tahun 2020," katanya.