Jangan tergesa-gesa tukar kasut hitam

Dr Salmee (belakang tiga kiri) selepas menyempurnakan gimik pelancaran Program Back to School di Mydin Alor Setar. Turut kelihatan Muhamad Waliyuddin (dua kiri), Mokhtar (tiga kanan) dan Embun (dua kanan).
Dr Salmee (belakang tiga kiri) selepas menyempurnakan gimik pelancaran Program Back to School di Mydin Alor Setar. Turut kelihatan Muhamad Waliyuddin (dua kiri), Mokhtar (tiga kanan) dan Embun (dua kanan).
A
A
A

ALOR SETAR - Semua sekolah di Kedah diharapkan tidak memberi tekanan kepada pelajar dengan mewajibkan mereka memakai kasut hitam bermula sesi persekolahan 2019 pada minggu depan kerana pelaksanaan sepenuhnya hanya akan berkuatkuasa pada 2021.

Exco Pendidikan, Sumber Manusia dan Pembangunan Insan Kedah, Dr Salmee Said berkata, pelaksanaan secara beransur-ansur bermula tahun hadapan itu adalah tempoh peralihan dan pelajar masih lagi dibenarkan untuk memakai kasut putih.

Menurutnya, pihaknya mengakui menerima banyak aduan tentang kenaikan harga kasut hitam yang berlipat kali ganda dan bagi pelajar yang tidak berkemampuan masih lagi boleh memakai kasut putih buat sementara waktu.

"Saya minta sekolah jangan beri tekanan dengan mewajibkan semua pelajar memakai kasut hitam pada sesi persekolahan 2019 kerana masih ada lagi tempoh kelonggaran yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sehingga 2021.

"Kami mendengar banyak aduan tentang kenaikan harga kasut hitam ini malah ada yang merungut harga kini mencecah RM40 satu pasang sehingga membebankan ibu bapa pelajar," katanya ditemui media selepas Program Back to School di Mydin Alor Setar, dekat sini.

Dr Salmee berkata, pihaknya berharap rungutan ini akan mendapat perhatian penjual agar tidak menaikkan harga pada harga tinggi sehingga membebankan keluarga pelajar.

Jelasnya, pemantauan harga kasut hitam juga wajar dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Kedah bagi membendung harga yang tidak munasabah.

"Saya akan berbincang dengan Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Kedah, R Summugam untuk melihat jualan kasut hitam ini.

Artikel Berkaitan:

“Saya akan minta memantau harga ini agar dapat diturunkan bagi memudahkan ibu bapa membelikan kasut hitam selepas ini," katanya.

Menurut Dr Salmee, ibu bapa pelajar tidak perlu tertekan kerana masih ada masa untuk mereka membuat tinjauan dan membeli kasut hitam di kedai lebih murah.

"Di Jitra, ada usahawan kosmetik terkenal akan memborong kasut hitam dari China dan menjualnya dengan harga berpatutan pada 2019.

“Dengan adanya usaha begini, ia akan memberi peluang kepada ibu bapa untuk mempunyai banyak pilihan dan membelinya pada harga berpatutan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan dari Mydin kepada 10 pelajar terpilih hasil sumbangan pasaraya tersebut.

Dr Salmee turut menyempurnakan gimik penyerahan 2,000 beg sekolah sumbangan Mydin hasil kerjasama dengan Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI) yang diwakili Pengurus Mydin Cawangan Taman Saga, Alor Setar, Muhamad Waliyudin Abdul Aziz.

Sumbangan tersebut seterusnya diserahkan kepada Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Kota Setar, Mokhtar Ahmad yang mewakili Pengarah Pendidikan Kedah untuk diagihkan ke seluruh Kedah.

Hadir sama Pengurus Komunikasi Korporat dan Multimedia MBI Kedah, Embun Majid.