Tidak perlu polemik isu tulisan khat: Annuar

Annuar (depan) diiringi Zulkifli bersalaman dengan perwakilan UMNO Tumpat di Pantai Sri Tujoh.
Annuar (depan) diiringi Zulkifli bersalaman dengan perwakilan UMNO Tumpat di Pantai Sri Tujoh.
A
A
A

TUMPAT - Pimpinan DAP digesa memberi kefahaman kepada ahlinya agar tidak ada yang memberi kenyataan menyentuh sensitiviti kaum.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, walaupun bantahan tulisan khat itu dilakukan oleh pimpinan akar umbi tetapi pemimpin DAP yang perlu memainkan peranan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, tulisan khat adalah seni kaligrafi yang tidak perlu dipolemikkan.

"Bukankah dalam bangsa Cina juga ada tulisan kaligrafi. Tidak pernah ada orang Melayu atau parti lain membuat aduan menyatakan tidak setuju orang Cina belajar kaligrafi.

"Sebenarnya ia tidak menjadi isu bagi yang memahami perlembagaan, jadi tak perlulah timbulkan isu sempit ini kerana ia tidak menyumbang kepada pembelaan bangsa," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tumpat di Pantai Sri Tujoh di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Zulkifli Abdullah; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Wan Hanapi Wan Yakob dan pimpinan Pas Tumpat termasuk Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Seramai 138 pemimpin akar umbi DAP, termasuk 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu baru-baru ini membantah rancangan pelaksanaan seni khat dan tulisan jawi sebagai sebahagian mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat.

Artikel Berkaitan:

Ini susulan kenyataan Kementerian Pendidikan bahawa pengenalan tulisan khat adalah bagi memupuk gaya penulisan indah dan menegaskan perkara itu tidak berkaitan dengan tulisan jawi dan pelajar tidak dinilai di dalam peperiksaan.