Tidak perlu polemikkan isu kalimah ALLAH: PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Ahli Jawatankuasa Masjid Dan Surau Parlimen Tambun di Institut Tadbiran Islam Perak hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Ahli Jawatankuasa Masjid Dan Surau Parlimen Tambun di Institut Tadbiran Islam Perak hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Isu penggunaan kalimah ALLAH tidak perlu dipolemikkan berikutan ia tidak melibatkan sebarang perubahan dasar sedia ada.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, larangan penggunaan kalimah suci itu kepada bukan Islam adalah kekal dilaksanakan di Semenanjung Malaysia.

"Ini keputusan mufti-mufti dan Raja-Raja Melayu, tiada perubahan. Jadi yang heboh ini kerana bantahan daripada individu di Sarawak kerana Sabah dan Sarawak dibolehkan dengan syarat tertentu.

"Ada beberapa suku kaum di Sarawak yang memang menggunakan perkataan (kalimah) itu sudah beratus tahun," katanya ketika berucap di Majlis Ramah Mesra bersama Ahli Jawatankuasa Masjid dan Surau Parlimen Tambun di Dewan Saidina Abu Bakar, Institut Tadbiran Islam Perak di sini pada Khamis.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, cadangan yang mahu dipersembahkan pada Majlis Raja-Raja bertujuan untuk memperkemaskan peraturan yang tidak jelas dari pelbagai sudut.

"Kita kaji untuk memperkemaskan tetapi tidak mengubah keputusan iaitu kalimah ALLAH untuk umat Islam di Semenanjung, di Sabah dan Sarawak dibolehkan dengan syarat-syarat.

"Itu yang kita kekalkan, hendak riuh rendah kenapa? Saya tidak faham apa yang tidak kena. Ada mengatakan Anwar liberal, tunduk kepada DAP, hendak rosakkan akidah umat Islam.

Anwar (tengah) bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim pada Majlis Ramah Mesra PM bersama Ahli Jawatankuasa Masjid dan Surau Parlimen Tambun di Institut Tadbiran Islam Perak, Ipoh pada Khamis.
Anwar (tengah) bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim pada Majlis Ramah Mesra PM bersama Ahli Jawatankuasa Masjid dan Surau Parlimen Tambun di Institut Tadbiran Islam Perak, Ipoh pada Khamis.

"Sebab itu, Kabinet hendak perkemaskan dua atau tiga perkara yang longgar dengan meminta perkenan Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk dibentangkan pada Majlis Raja-Raja akan datang," katanya.

Sinar Harian melaporkan Jemaah Menteri mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah ALLAH kepada Majlis Raja-Raja.

Anwar dalam kenyataan berkata, langkah tersebut bagi menyelesaikan isu penggunaan kalimah ALLAH secara menyeluruh dan bersepadu.

Ini berikutan keputusan Jabatan Peguam Negara untuk menarik balik rayuan terhadap kes Jill Ireland Lawrence Bill berhubung bahan penerbitan yang mengandungi kalimah ALLAH hanya berkisar soal pentadbiran dan tidak mengubah ketetapan Mahkamah Persekutuan pada 2014.