Kena maki itu asam garam dalam dakwah

Abdul Hadi ketika berucap dalam satu dialog di London, baru-baru ini.
Abdul Hadi ketika berucap dalam satu dialog di London, baru-baru ini.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Makian diterima Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu dialog di London adalah sunnatullah dalam berdakwah.

Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, hal tersebut menjadi sebahagian jalan ketentuan mesti dilalui sebagai ikutan oleh setiap pendakwah di atas nama perjuangan Islam.

“Bagi pejuang Islam, itu adalah sunnatullah dan asam garam dalam perjuangan kerana nabi-nabi zaman dahulu, lagi teruk kena maki,” katanya seperti dilaporkan lidah rasmi Pas, HarakahDaily, hari ini.

HarakahDaily turut melaporkan kenyataan Setiausaha Politik Presiden Pas, Syahir Sulaiman bahawa sikap sabar Abdul Hadi sangat mengagumkan beliau kerana cacian yang dikeluarkan itu sangat berat.

“Datuk Seri masih boleh ketawa selepas peserta menghina beliau, bagaikan tiada apa-apa yang besar dan masih mahu menjawab persoalan yang ditimbulkan.

"Peserta itu kelihatan seperti mahu menimbulkan suasana yang tidak baik dalam majlis tersebut, tetapi tidak dilayan dengan emosi oleh Presiden Pas.

"Orang ramai boleh melihat ketinggian budi pekerti Presiden Pas yang tidak langsung berjaya ditarik dalam permainan provokasi itu,” katanya.

Sebelum ini, tular sebuah video yang menunjukkan seorang audiens yang tidak berpuas hati dan memaki Abdul Hadi dalam satu dialog di London.

Bagaimanapun, keadaan kembali tenang setelah lelaki itu dibawa keluar dari dewan.
Artikel Berkaitan: