Pertemuan dengan PM bukan perkara luar biasa: Abdul Hadi

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang
A
A
A

MARANG - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan pertemuan pemimpin pembangkang dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad Selasa lalu bukan perkara luar biasa.

Menurutnya, menjadi satu amalan demokrasi yang sihat apabila seorang Perdana Menteri di sesebuah negara mengadakan pertemuan dengan pihak pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO).

"Itu demokrasi yang sihat, terbuka berjumpa dengan NGO. Itu satu proses demokrasi yang disuburkan. Memang di negara-negara yang amalkan demokrasi semuanya begitulah.

"Bukan perkara luar biasa jumpa dengan pembangkang, jumpa dengan siapa sahaja perkara biasa cuma mereka yang ada agenda-agenda lain menganggap ia di luar kemahuan dia," katanya ditemui hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: PM sahkan ada bertemu pemimpin pembangkang

Terdahulu, media tempatan melaporkan pemimpin pembangkang mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir Selasa lalu untuk memberi sokongan agar terus memegang jawatan sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal.

Ketika diminta mengulas mengenainya, Abdul Hadi memaklumkan beliau tidak menyertai pertemuan itu sebaliknya hanya menghantar wakil parti dan masih menunggu laporan mengenainya.

"Ada pun untuk meneruskan kerajaan itu bukan hak kita. Bahkan banyak diplomat asing berjumpa dengan saya, tanya saya siapa (pengganti) Perdana Menteri. Itu bukan hal saya. Dr Mahathir tahu siapa ganti dia.

"Kalau nak serah pada rakyat, rakyat akan menentukan siapa. Kita mahu supaya Perdana Menteri melaksanakan tugas dengan cara lebih terbuka, sikap yang baik yang kita alu-alukan dan kita ambil peluang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, katanya, rakyat perlu sedar bahawa Kerajaan Persekutuan dan kerajaan di beberapa buah negeri berbeza pentadbirannya.

"Kerajaan negeri itu pelbagai parti politik, UMNO dua buah negeri, Pas dua buah negeri, ada negeri yang PKR pimpin, negeri yang Amanah jadi menteri besar, DAP menjadi menteri besar.

"Apa salahnya kita jumpa dengan Perdana Menteri kerana kita berkonsepkan federalisme, bercakap tentang negeri-negeri yang kita perintah, dalam masa sama kita berhak memberi pandangan.

"Bukan hanya di Parlimen tetapi secara berdepan, ia lebih baik," katanya.