Lapor SPRM jika wujud penyelewengan: Salahuddin

Salahuddin (dua, kiri) meninjau proses semaian padi pulut jenis siding ketika merasmikan program turun padang ke projek pilot Tanaman Padi Pulut di Kampung Ayer Hangat di sini hari ini.
A
A

LANGKAWI - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) tidak akan menghalang nelayan atau pihak tertentu membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya mendapati wujudnya penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa dalam sektor berkenaan.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, SPRM juga bebas menjalankan siasatan dan pihaknya tidak akan menghalang tugas pegawai penguatkuasa.

Katanya, beliau juga sedia membantu pihak penguatkuasa memandangkan MOA sangat menekankan budaya kerja yang telus.

"Itu polisi yang saya bawa dalam kementerian, jika ada apa-apa (isu) mereka berhak melaporkan kepada pihak berwajib seperti polis dan SPRM.

"Ini yang kita perlukan untuk meningkatkan integriti di MOA dan menjaga kebajikan para nelayan," katanya ketika ditemui di program turun padang ke projek pilot Tanaman Padi Pulut di Kampung Ayer Hangat di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani, Pengangkutan dan Industri Utama negeri, Azman Nasrudin.

Hari ini, Sinar Harian melaporkan Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail menyarankan SPRM memantau sektor perikanan negara bagi memastikan sektor itu bebas rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Beliau menyuarakan kebimbangan berkenaan susulan rungutan nelayan yang mendakwa berlakunya penguatkuasaan yang lemah dalam sektor terbabit.

Menurutnya, perkara itu amat merugikan rakyat dan negara khususnya nelayan tempatan.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia