Pekerja kilang maut, motosikal bertembung kereta

Seorang pekerja kilang maut selepas motosikal ditungganginya hilang kawalan lalu melanggar sebuah kenderaan lain di Jalan Lesung Batu, Alor Gajah di sini pagi tadi.
A
A

MELAKA - Seorang pekerja kilang maut selepas motosikal ditungganginya hilang kawalan lalu melanggar sebuah kenderaan lain di Jalan Lesung Batu, Alor Gajah di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 pagi itu, mangsa, Mohd Amirrul Ukqmal Azaar, 21, yang beralamat di Taman Kota Masai, Pasir Gudang, Johor meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, polis menerima laporan kejadian daripada orang awam yang mengatakan berlaku satu kemalangan maut melibatkan dua kenderaan di Jalan Lesung Batu pada jam 7.53 pagi.

Menurutnya, hasil siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan melibatkan sebuah motosikal ditunggang mangsa jenis Yamaha Lagenda 115Z dengan sebuah kereta Perodua Alza dipandu seorang wanita berusia 35 tahun.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa dari arah Machap Baru menghala ke Alor Gajah secara tiba-tiba hilang kawalan sehingga memasuki laluan bertentangan dan melanggar kereta terbabit.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu wanita terlibat tidak mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Hasan berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia