Najib dakwa tempat ditukar: Ini jawab Perdana Menteri

Mahathir
Mahathir
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak tahu-menahu mengenai pertukaran tempat duduk Datuk Seri Najib Razak pada Majlis Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, kelmarin, jika benar ia berlaku.

Memetik laporan Harian Metro, Dr Mahathir berkata, perkara itu bukan di bawah pengetahuan dan bidang kuasa beliau.

“Saya tak tahu, saya tak nampak apa pun... itulah tempat dia (seperti ditentukan), itu istana punya kerja, bukan saya,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Mujahid nafi kerusi Najib diubah saat akhir

Dah tak sempat ambil pakaian dari Pekan: Najib

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Makan Malam Amal dan Pelancaran Tabung Jasamu Dikenang Ex-Kota Bharu Teacher’s College (KBTC) 2019 di Putrajaya di sini malam ini.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Dr Yusof menafikan dakwaan bahawa tempat duduk Najib diubah saat akhir.

Beliau yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Khas Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 menegaskan kedudukan itu telah ditetapkan dan Ahli Parlimen Pekan itu sudah dimaklumkan lebih awal mengenainya.

Artikel Berkaitan:

“Kita telah membuat satu jawapan rasmi dan sebenarnya isunya bukan dialih, tapi memang kita telah tetapkan. Kemudian Datuk Seri Najib sendiri beri alasan.

“Beliau duduk di tempat kerabat, beliau perlu memakai pakaian istiadat Orang Besar Pahang. Itu masalah dia kerana kita telah maklumkan lebih awal. Jadi tak timbul isu dan kita menafikan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Najib semalam tampil menjelaskan ketidakhadiran beliau ke istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong kerana tidak sempat mengambil pakaian istiadat Orang Besar Pahang miliknya kerana kedudukan tempat duduknya didakwa telah ditukar.

“Bukan kekeliruan tetapi menerima panggilan pada jam 6:30 pagi yang sama bahawa tempat duduk ditukar. Sepatutnya duduk di tempat ke-10 sebagai bekas Perdana Menteri mengikut protokol istiadat tetapi ditukar pada saat terakhir ke tempat duduk Orang Besar Pahang.

“Pakaian istiadat untuk Orang Besar Pahang dan pakaian bekas PM tak sama. Setiap jawatan ada protokolnya,” tulis Najib dalam satu hantaran di laman sosial Facebook miliknya.