Mujahid nafi kerusi Najib diubah saat akhir

Mujahid - Foto ZAHID IZZANI
A
A

PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Dr Yusof menafikan dakwaan bahawa tempat duduk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Majlis Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Selasa lalu diubah saat akhir.

Beliau yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Khas Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 menegaskan kedudukan itu telah ditetapkan dan Ahli Parlimen Pekan itu sudah dimaklumkan lebih awal mengenainya.

“Kita telah membuat satu jawapan rasmi dan sebenarnya isunya bukan dialih, tapi memang kita telah tetapkan. Kemudian Datuk Seri Najib sendiri beri alasan.

ARTIKEL BERKAITAN: Dah tak sempat ambil pakaian dari Pekan: Najib

“Beliau duduk di tempat kerabat, beliau perlu memakai pakaian istiadat Orang Besar Pahang. Itu masalah dia kerana kita telah maklumkan lebih awal. Jadi tak timbul isu dan kita menafikan,” katanya selepas melancarkan Logo Karnival Rahmah 2019 di sini hari ini.

Sebelum ini, Najib tampil menjelaskan ketidakhadiran beliau ke istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong kerana tidak sempat mengambil pakaian istiadat Orang Besar Pahang miliknya kerana kedudukan tempat duduknya didakwa telah ditukar.

“Bukan kekeliruan tetapi menerima panggilan pada jam 6:30 pagi yang sama bahawa tempat duduk ditukar. Sepatutnya duduk di tempat ke-10 sebagai bekas Perdana Menteri mengikut protokol istiadat tetapi ditukar pada saat terakhir ke tempat duduk Orang Besar Pahang.

“Pakaian istiadat untuk Orang Besar Pahang dan pakaian bekas PM tak sama. Setiap jawatan ada protokolnya,” tulis Najib dalam satu hantaran di laman sosial Facebook miliknya.