Ugut serang balai: Azwanddin ditahan polis

Datuk Azwanddin Hamzah
Datuk Azwanddin Hamzah
A
A
A
SHAH ALAM - Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah ditahan polis hari ini susulan ucapan berbaur ugutan terhadap pasukan keselamatan itu dalam Perhimpunan Aman Keadilan untukmu Adib dan Desakan Pecat P Waytha Moorthy di Klang, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, Azwanddin ditahan pada jam 2.40 petang tadi di Kompleks Keramat Mall, Jalan Datuk Keramat Kuala Lumpur.

Katanya, Azwanddin ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

"Memandangkan siasatan lanjut perlu diteruskan atas ugutan untuk serang balai polis, beliau akan direman di Mahkamah Klang jam 9.00 pagi esok.

"Di samping itu beliau juga akan disiasat dibawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana membuat penghinaan ke atas individu," katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, ketika berucap dalam perhimpunan itu, Azwanddin mengeluarkan kenyataan akan menyerang Balai Polis Klang jika pihak yang menyebabkan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman dan kematian pegawai bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim tidak ditangkap.

Dalam perhimpunan tersebut, leih 1,000 peserta memakai baju berwarna hitam berarak sejauh 400 meter dari Masjid Bandar Diraja Klang ke Dataran Seni.

Mereka berarak dengan membawa sepanduk ‘Justice for Adib’ dengan tujuh tuntutan dari Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) yang menjadi penganjur perhimpunan itu.

Tujuh tuntutan itu antaranya memberi masa selama 40 hari supaya kerajaan menyelesaikan itu tersebut.
Artikel Berkaitan:


Memorandum juga akan dihantar ke Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha JMM, Hamdan Mohd Salleh ketika dihubungi berkata, beliau bersama Azwanddin di Pusat Transformasi Bandar (UTC) kerana mempunyai urusan sebelum dihubungi polis untuk memberi kerjasama.

"Beliau beri kerjasama baik kepada pihak berkuasa dan tujuh anggota polis tiba membawanya ke IPD Klang Utara,” katanya.