Lelaki maki hamun ibu tak bagi guna kereta

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang anak tergamak memaki hamun ibu kandungnya hanya kerana wanita itu tidak membenarkan dia menggunakan kereta, dalam kejadian di Kampung Seberang Bukit Tumbuh, Kuala Nerus, Sabtu lalu.

Perbuatan biadab lelaki berusia 30-an terhadap mangsa berumur 50-an itu disedari adik lelakinya yang terjaga daripada tidur selepas terdengar jeritan suspek kira-kira jam 3 pagi.

Sumber berkata, adik lelaki suspek berusia 20 tahun bergegas keluar dari bilik sebelum ternampak abangnya cuba merampas kunci kereta di tangan ibu mereka sambil memaki hamun wanita itu.

"Tidak sanggup melihat perbuatan biadab suspek, lelaki itu mengambil keputusan masuk campur dengan cuba mengambil kunci kereta itu daripada ibu mereka.

"Bagaimanapun, sejurus memegang kunci kereta itu suspek terus bertindak mengacukan pisau ke arahnya sambil memberi amaran supaya jangan masuk campur urusannya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut sumber, difahamkan sebelum itu, pada hari sama suspek mengamuk dan memeras ugut ibu kononnya akan memukul abang ipar sekiranya wanita itu tidak mahu menyerahkan wang RM600.

"Adik lelaki suspek mengambil keputusan membuat laporan polis kerana tidak tahan melayan karenah suspek yang sering mengamuk setiap kali kemahuannya tidak dipenuhi selain risau keselamatan keluarga pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

Artikel Berkaitan:

Mengikutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.